Sunday, August 17, 2008

Tingkatkan keselamatan Jeti Kuala Sebatu

Agensi kerajaan berkaitan terutamanya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) digesa memberi perhatian serius pada masalah yang dihadapi para nelayan di Jeti Kuala Sebatu, Merlimau di sini, yang mendakwa jeti baru yang dibina agensi berkenaan tidak selamat untuk digunakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman berkata, beliau sendiri telah meninjau keadaan jeti tersebut dan mendapati dakwaan penduduk itu benar.

"Saya sangat kesal kerana keadaan jeti batu yang baru dibina empat bulan lalu amat tidak sempurna dan boleh membahayakan keselamatan para nelayan jika terus digunakan tanpa penambahan ciri-ciri keselamatan.

"Kalau betullah jeti ini dibina dengan kos RM300,000 seperti yang didakwa penduduk, ia menimbulkan tanda tanya kerana dengan peruntukan sebanyak itu, sepatutnya jeti yang dibina lebih baik daripada apa yang ada sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasan ditemui pemberita ketika melakukan lawatan ke jeti tersebut setelah menerima rungutan penduduk mengenai keadaan jeti sepanjang kira-kira 150 meter itu yang tidak sempurna dan selamat digunakan kerana cuma menyediakan dua tangga yang terpaksa dikongsi 60 nelayan.

Para nelayan mendakwa keadaan tersebut menyukarkan mereka untuk mendaratkan hasil tangkapan laut kerana terpaksa bergilir-gilir meletakkan bot di hadapan tangga batu yang disediakan dan ia terhad kepada dua bot sahaja pada satu-satu masa.

Jika tidak, mereka terpaksa memilih untuk membina tangga kayu sendiri setinggi kira-kira tiga meter walaupun menyedari bahaya yang menanti terutamanya kepada golongan nelayan warga emas.

Hasan berharap agensi kerajaan berkaitan dapat segera menambah ciri-ciri keselamatan di jeti tersebut sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini kepada keluarga nelayan dan penduduk yang berurusan di situ.

"Saya tengok lantai jeti ini juga nipis dan keadaan ini boleh membahayakan nyawa nelayan apatah lagi setelah saya melihat bilangan nelayan yang ramai iaitu 60 orang.

"Kalau seramai itu menggunakan jeti ini, tentulah ia memerlukan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat lebih-lebih lagi kawasan ini terletak agak jauh dari jalan utama yang akan menyukarkan kerja menyelamat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Tambah beliau, beliau juga kesal kerana LKIM tidak memaklumkan kepadanya berhubung pembinaan jeti tersebut sebelum ini sehingga akhirnya mengundang rungutan para nelayan.

"Saya sendiri tidak dimaklumkan mengenai pembinaan jeti ini dan hanya mengetahuinya setelah ia sudah siap melalui nelayan di sini," tambahnya sambil berharap akan mendapat peruntukan segera bagi menambah ciri-ciri keselamatan di jeti tersebut.

Kerajaan Negeri Sediakan RM115 Juta Untuk Projek Sungai Rambai Baru

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM115 juta untuk projek Sungai Rambai Baru menerusi pelan pembangunan Sungai Rambai Maju (SRM) yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, projek SRM antara lain membabitkan pembinaan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan taman perumahan seluas 15.616 hektar di Mukim Sungai Rambai di daerah Jasin.

"Pembangunan di Sungai Rambai itu dirancang sebegitu rupa memandangkan ia terletak di sempadan Johor yang menjadi pintu masuk utama pelancong dari selatan tanah air termasuk dari Singapura," katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Md Yunos berkata, lima kawasan baru SRM bakal dibangunkan membabitkan taman perumahan seluas 6.7 hektar, rumah kedai (0.184 hektar), R&R (3.8 hektar), stesen minyak (1.2 hektar) dan infrastruktur lain (3.8 hektar) dengan nilai tanah RM8.5 juta.

"Mengikut pecahan projek, kawasan R&R akan menelan belanja RM11.3 juta, manakala bagi perumahan dan rumah kedai membabitkan kos RM39.5 juta," katanya.

Antara komponen yang dicadangkan dalam draf pembangunan berkenaan ialah 120 unit rumah teres dua tingkat, 68 unit rumah berkembar, 13 unit rumah kedai dua tingkat, 44 unit lot rumah banglo, satu lot stesen minyak dan dua lot kawasan R&R yang akan dibina bersebelahan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.

Md Yunos juga berkata, kerajaan negeri bercadang membesarkan pembangunan pelabuhan pusat pertukaran barang di Sungai Rambai dengan membabitkan keluasan tambahan 21.6 hektar dengan kos berjumlah RM44 juta, termasuk kos pengambilan tanah yang bernilai RM12 juta.

Katanya, antara komponen yang dicadang untuk dibangunkan di kawasan berkenaan adalah dua unit pejabat pengurusan di atas tapak seluas 1.3 hektar dan membina 55 unit rumah banglo, 86 rumah berkembar, 97 rumah teres dan 34 rumah kedai.

"Bagi infrastruktur dan kemudahan awam, kerajaan negeri bercadang menyediakan satu unit pencawang masuk utama elektrik di kawasan berdekatan selain membina kawasan lapang untuk kemudahan letak kenderaan seluas 0.716 hektar dan membina jalan membabitkan tanah seluas 6.8 hektar," katanya.

Tuesday, August 12, 2008

Belia Dari DUN Sungai Ramabi Sertai Khidmat Masyarakat

Seramai 103 belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menyertai Program Khidmat Masyarakat di Parit Penghulu dekay sini baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Rakan Muda itu dirasmikan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan turut dihadiri Pengerusi Kelab Rakan Muda daerah Jasin, Mohd Rashidi Mohd Hata.

Menurut Mohd Rasidi, Rrogram yang di adakan itu telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi kesedaran kepada peserta yang terdiri daripada golongan belia di dalam kawasan DUN Sungai Rambai.

Katanya lagi, disamping menyertai beberapa acara yang telah disusun, peserta juga turut mengambil bahagian program khidmat masyarakat kepada penduduk di parit penghulu.

"Pelbagai program amal telah dijalankan sepanjang kami berada di sini termasuk membersihkan kawasan rumah warga emas,membantu membersihkan rumah ibu tunggal dan orang miskin.

"Di samping itu, kami juga turut membersihkan kawasan perkuburan dan masjid bersama-sama dengan penduduk tempatan,"jelasnya semasa dalam ucapan majlis penutupan program tersebut di sini.

Sementara itu, Ahmad memuji dengan semangat kerjasama dan sukarelawan yang dimiliki oleh setiap ahli kelab tersebut dan berharap ianya akan dapat diteruskan bagi menjadikan golongan belia di kawasan Parlimen Jasin mempunyai wawasan tinggi.

"Saya juga berharap program seumpama ini akan dapat diteruskan di masa hadapan dan Kelab Rakan Muda ini sendiri menyediakan peluang dan ruang golongan muda untuk mereka menabur bakti kepada golongan yang kurang berkemampuan.

"Jika sebelum ini golongan belia sering dikaitkan dengan isu masalah sosial, tetapi pada kali ini kita melihat sendiri isu yang dikaitkan sebenarnya tidak membabitkan semua belia,"Katanya.

KEMM berjaya rangkul Piala ADUN Sungai Rambai


Kelab Media Massa Melaka (KEMM) mengungguli perlawanan bola sepak bagi merebut piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman apabila menang dengan lambungan duit syiling selepas kedudukan terikat 3-3 dengan pasukan lawan iaitu Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai, baru-baru ini.

Perlawanan yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai itu menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan yang masing-masing menampilkan beberapa pemain berkaliber termasuk beberapa pegawai kanan Kompleks Japerun Sungai Rambai iaitu Setiausahanya, Jalauddin Mamat dan Setiausaha Korporat, Hussin Mohamad.

Sementara KEMM membariskan pemain yang terdiri daripada pengamal media di negeri berkenaan termasuk Badrul Hizar Abd Jabar dari Berita Harian; Meor Riduan Meor Ahmad (Harian Metro); Abd Malex Yahya (The Star); Nashairi Md Nawi (jurugambar NSTP); Mohd Sharil Rosli (Bernama); Mohd Raffi Bachik (TV9) dan Nazri Abu Bakar (Harian Metro).

Hasan yang juga Timbalan Exco Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan negeri berkata, acara sukan seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan setiakawan antara kakitangan Japerun Sungai Rambai dengan pengamal media dapat diteruskan.

“Saya berbangga pihak media dapat memenuhi undangan kami dan saya rasa ia wajar diteruskan supaya hubungan baik ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hasan (empat, kiri berdiri) bersama pasukan KEMM selepas menyampaikan hadiah kepada pemain.

Monday, August 11, 2008

Belia disaran tonjol sifat kepimpinan

Belia-belia disarankan supaya dapat menanam sifat-sifat kepimpinan terutama sekali di dalam usaha membantu kerajaan mengukuh serta membantu membangkitkan semangat yang erat di antara sesama mereka.

Menurut Pengerusi Kelab Rakan Muda Jasin, Mohd Rashidi Mohd Hata, sifat kepimpinan ini penting dalam usaha memberikan kesedaran serta kefahaman kepada golongan belia terutama kepada mereka yang masih menuntut di institut pengajian tinggi awam mahupun swasta (IPTA/IPTS).

“Kesedaran dan kefahaman ini penting kerana golongan belia bakal menggantikan pemimpin yang sedia ada pada masa hadapan.

“Golongan ini juga memainkan peranan dalam usaha kita menggerakkan jentera dan tenaga muda ini sebagai golongan yang sesuai kepada perubahan sosial.

“Kita mahu masyarakat setempat mengubah persepsi mereka yang sebelum ini menganggap golongan ini sering terlibat dengan gejala sosial agar mengubah persepsi sedemikian dengan menganggap golongan ini sebagai pemangkin perubahan sosial di sesuatu kawasan,” katanya kepada Sinar Harian semasa majlis penutupan Program Khidmat Masyarakat anjuran Kelab Rakan Muda Jasin dan DUN Sungai Rambai.

Tambahnya, belia seharusnya tahu akan peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam mencorak masa depan mereka kerana mereka merupakan tunjang utama dalam pembangunan negara.

“Kita mahu membina keharmonian dan kemakmuran masyarakat desa dalam bidang ekonomi, sosial dan politik berasaskan kepada ilmu pengetahuan yang disalurkan oleh golongan belia ini kepada masyarakat desa.

“Melalui penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada peserta agar mereka akan terus berbakti kepada masyarakat desa di masa hadapan kelak,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program ini seperti membersihkan kawasan rumah warga emas, ibu tunggal dan orang miskin serta membersihkan kawasan kubur dan persekitaran masjid bersama-sama dengan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam program tersebut, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan 103 belia yang tinggal di kawasan Parlimen Jasin.

Sunday, August 10, 2008

RM115j untuk projek Sungai Rambai Baru

Sejumlah RM115 juta disediakan untuk projek Sungai Rambai Baru menerusi pelan pembangunan Sungai Rambai Maju (SRM) yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin, berkata projek SRM antara lain membabitkan pembinaan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan taman perumahan seluas 15.616 hektar di Mukim Sungai Rambai di daerah Jasin.

Katanya, pembangunan di Sungai Rambai itu dirancang sebegitu rupa memandangkan ia terletak di sempadan Johor yang menjadi pintu masuk utama pelancong dari selatan tanah air termasuk dari Singapura.

Katanya, lima kawasan baru SRM bakal dibangunkan membabitkan taman perumahan seluas 6.7 hektar, rumah kedai (0.184 hektar), R&R (3.8 hektar), stesen minyak (1.2 hektar) dan infrastruktur lain (3.8 hektar) dengan nilai tanah RM8.5 juta.

Beliau berkata, mengikut pecahan projek, kawasan R&R akan menelan belanja RM11.3 juta, manakala bagi perumahan dan rumah kedai membabitkan kos RM39.5 juta.

Antara komponen yang dicadangkan dalam draf pembangunan berkenaan ialah 120 unit rumah teres dua tingkat, 68 unit rumah berkembar, 13 unit rumah kedai dua tingkat, 44 unit lot rumah banglo, satu plot stesen minyak dan dua plot kawasan R&R yang akan dibina bersebelahan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.

Md Yunos juga berkata, kerajaan negeri bercadang membesarkan pembangunan pelabuhan pusat pertukaran barang di Sungai Rambai dengan membabitkan keluasan tambahan 21.6 hektar dengan kos berjumlah RM44 juta, termasuk kos pengambilan tanah yang bernilai RM12 juta.

Katanya, antara komponen yang dicadang untuk dibangunkan di kawasan berkenaan adalah dua unit pejabat pengurusan di atas tapak seluas 1.3 hektar dan membina 55 unit rumah banglo, 86 rumah berkembar, 97 rumah teres dan 34 rumah kedai.

"Bagi infrastruktur dan kemudahan awam, kerajaan negeri bercadang menyediakan satu unit pencawang masuk utama elektrik di kawasan berdekatan selain membina kawasan lapang untuk kemudahan letak kenderaan seluas 0.716 hektar dan membina jalan membabitkan tanah seluas 6.8 hektar," katanya.

Monday, August 4, 2008

Lulus Tiga Usul Babitkan Masa Depan Golongan Belia

Majils Perundingan Belia (MPB) Peringkat daerah Melaka Tengah yang berlansung hari ini meluluskan tiga usul untuk di bawa ke Majlis MPB Peringkat negeri yang akan di adakan pada pertengahan Ogos ini.

Pengerusi Bersama MPB Daerah Melaka Tengah, Abd Razak Abu berkata, usul pertama yang akan dibawa itu ialah meminta kerajaan negeri memberi petimbangan supaya pemimpin belia di negeri ini diberi tempat dan jawatan di dalam agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, usul kedua ialah meminta kerajaan memberi pertimbangan kepada golongan belia yang aktif termasuk yang menjadi ahli persatuan belia mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam dan swasta(IPTA/S) di negara ini.

Katanya, usul yang ketiga pula memberi peluang permohonan pekerjaan yang terdapat di negeri ini kepada ahli belia yang aktif dalam usaha untuk melahirkan modal insan kelas pertama.

"Ketiga-tiga usul ini telah di persetujui oleh ahli MPB yang bersidang hari ini dan akan dibawa ke persidangan MPB peringkat negeri yang akan berlansung sebelum akhir ogos ini"Katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas majlis perasmian MPB peringkat Daerah Melaka Tengah oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Kebajikan perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Hasan Abd Rahman di sebuah resot di sini.

Hadir sama pada majlis itu,Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN)Abd Manap Abd Rahman; Pegawai Daerah JBSN, Fauzi Mohamad; Pengerusi Bersama MPB Daerah Melaka Tengah, Razak Abu dan Pengarah Bahagian Sahabat Belia JKMM, Mohd Nizam Omar.

Terdahulu, dalam ucapan Perasmian, Hasan menyeru supaya semua belia di negeri ini mempunyai kesedaran dalam politik kerana ia bakal menjadi penentu haluan negara di masa hadapan.

Menurut Hasan,peranan golongan belia hari ini kini tidak dapat dinafikan dan mereka telah membuktikan peranan mereka dalam Pilihan ?Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Biarpun ada sesetengah pihak menyatakan, bahawa golongan belia tidak menyokong kerajaan, saya tetap dengan pendirian saya bahawa golongan belialah yang telah banyak membantu kejayaan kerajaan dalam PRU yang lalu, Katanya.

Perkampungan Ilmu bantu tingkatkan pencapaian pelajar

Program Kecemerlangan Pelajar Perkampungan Ilmu 2008 yang diadakan di Kem Modal Insan baru-baru ini bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi pencapaian akademik terutamanya anak-anak pekebun kecil.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, objektif perkampungan ini dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik menjawab soalan peperiksaan dengan mengikut kehendak soalan.

“Di samping itu, para pelajar juga akan mendapat keyakinan diri bagi menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

:“Pihak penganjur seperti Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Jasin dan Japerun Sungai Rambai sendiri mahu membantu meningkatkan peratusan kualiti dan kuantiti kejayaan dalam mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya dalam ucapan perasmian penutup program ini.

“Bidang pendidikan juga turut menjadi agenda utama di DUN Sungai Rambai dalam memastikan para calon SPM mendapat keputusan cemerlang.

“Jika sebelum ini perkampungan bagi murid-murid yang bakal menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) sudah diadakan, kini perkampungan SPM pula diadakan bagi memberi pendekatan kepada pelajar dalam masa terdekat,” ujarnya.

“Kita juga bersetuju untuk menjadikan DUN ini sebagai perkampungan ilmu dan tidak lama lagi kita bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara pihak Universiti Selangor (Unisel) bagi memberi peluang dalam menaik taraf pendidikan para pemimpin tempatan, JKKK serta ketua cawangan.

“Kita mahu menyelaraskan sistem pendidikan mereka dan walaupun mereka belajar setakat tahun enam tetapi dengan ilmu serta pengalaman yang mereka peroleh, ia boleh memberikan pengiktirafan kepada mereka mengikut masa berkhidmat,” jelasnya lagi.