Thursday, March 19, 2009

Nur Nabila lega datuk sedia jaga empat cucunya


Kesediaan Kasim Maa'rof menjaga keempat-empat cucunya memberi harapan baru kepada Nur Nabila Osman, 17, untuk terus tinggal serumah bersama adik-adiknya.

Keputusan tersebut disuarakan oleh Kasim selepas keluarga malang itu dikunjungi kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kemudiannya memberi jaminan akan menyalurkan bantuan kewangan RM400 sebulan.

Keputusan datuknya itu disambut gembira oleh Nur Nabila. Dia tidak perlu lagi bimbang memikirkan perkara yang amat ditakutinya iaitu mereka empat beradik terpaksa dipisahkan.

Lebih membahagiakan bagi gadis itu apabila dia turut ditawarkan tempat sama ada di Pusat GiatMara, Merlimau atau Institut Kemahiran Belia Negara, Masjid Tanah.

''Alhamdulillah, semuanya berjalan baik dan saya tidak perlu lagi bimbang tentang adik-adik, malah saya juga boleh tumpukan masa kepada kursus memasak di pusat kemahiran nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah empat beradik malang itu dipaparkan menerusi laporan akhbar hari ini tentang keluhan hati Nur Nabila memikirkan nasib dua daripada adiknya yang akan dihantar ke rumah kebajikan kerana Kasim tidak mampu memelihara mereka.

Ibu mereka, Maimunah Kasim, 52, meninggal Sabtu minggu lalu dan bapanya kini menetap di Johor Bahru. Mereka kini menumpang di rumah datuk di Kampung Lubuk Kasau, Bemban sejak empat tahun lalu.

Hanya Nur Nabila dan Mohd. Aidil, 16, tidak bersekolah, manakala Mohd. Asyraf, 13, dan Nur Fahana, 10 tahun, masing-masing berada di tingkatan satu dan darjah empat di salah sebuah sekolah di Bemban.

Penderitaan nasib empat beradik itu turut mendapat perhatian Timbalan Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri yag juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman yang meluangkan masa melawat keluarga empat beradik tersebut.

Wednesday, March 18, 2009

Mansuhkan Lembaga Disiplin UMNO

Keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding pada pemilihan minggu depan membawa kepada cadangan supaya lembaga itu dimansuhkan.

Beberapa pemimpin mencadangkan supaya tugas lembaga berkenaan diserahkan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu ketika mengetengahkan idea itu berkata, kewujudan Lembaga Disiplin parti hanya akan memberi gambaran negatif terhadap parti selain memburukkan lagi situasi yang dihadapi parti ketika ini.

Menurutnya, kewujudan lembaga itu hanya akan ‘membongkar’ kelemahan UMNO dan apabila sesuatu isu itu diketahui umum, ia akan mengundang pandangan negatif khalayak terhadap parti.

“Semua yang dibongkar oleh Lembaga Disiplin parti, masyarakat akan melihat lebih ke arah negatif.

“Ia seolah-olah menggambarkan lembaga ini berkepentingan kepada sesetengah ahli dan perhubungan tertentu.

“Oleh bab itu, masalah rasuah (salah laku) eloklah serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih berkecuali dan lain-lain hal diputuskan Jawatankuasa Pengurusan UMNO,” katanya.

Md Sirat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Katil, bagaimanapun berkata, beliau menerima keputusan Lembaga Disiplin.

Pada masa sama, beliau amat berharap rayuan Mohd Ali mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, cadangan Md Sirat disokong ADUN Sungai Rambai, Hassan Rahman, yang berpendapat jika Lembaga Disiplin tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, lebih baik ia dimansuhkan.

“Lembaga Disiplin tidak boleh menjalankan semua kerja termasuk kerja-kerja siasatan, pendakwaan dan menjatuhkan hukuman kepada siapa yang didakwa bersalah.

“Siasat dan dakwa sahajalah, biarkan Majlis Tertinggi UMNO buat keputusan atau jika tidak boleh berfungsi dengan betul, mansuhkan sahaja,” katanya.

Menurut Hassan, perbezaan hukuman antara Mohd Ali dan calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga menimbulkan satu lagi persoalan besar.

Perkara itu jelas menunjukkan ada yang tidak kena dengan Lembaga Disiplin dan jika fungsinya sedemikian rupa wajar ia dimansuhkan.

Kelmarin, Lembaga Disiplin UMNO memutuskan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding dalam pemilihan minggu depan kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Lembaga Disiplin parti itu mengumumkan, Mohd Ali yang juga Naib Presiden UMNO bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Tuesday, March 17, 2009

Lepasan Sekolah Wajib Sertai Persatuan - Hasan

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bakal dijadikan sebagai DUN belia dengan menyemarakan aktiviti persatuan belia di DUN berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, untuk tujuan itu, gelanggang dan gymnasium rakyat sudah diwujudkan berpusat di kompleks Japerun untuk menyokong aktiviti persatuan belia.

"Pelbagai aktiviti berbentuk hiburan juga telah diadakan seperti konsert, pementasan teater, pertandingan bola sepak, berzanji dan marhaban di kalangan belia setempat," katanya.

Hasan berkata demikian selepas Konvensyen Khas Perpaduan Melayu "Parti Menguasai Kerajaan" anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Jasin, di Dewan Datuk Ahmad Ithnin, di sini petang semalam.

Hasan berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dari persatuan belia di DUN Sungai Rambai.

Dalam perkembangan lain, Hasan turut mengulas sikap sesetengah pihak yang menggunakan golongan remaja dan belia sebagai medium demonstrasi menentang Kerajaan.

"Mereka ini tidak mempunyai asas hidup bermasyakat yang tulin dan tidak mempunyai ilmu mengendalikan persatuan dan organisasi dengan mudah melibatkan golongan remaja, belia dan pelajar sekolah untuk menyuarakan hasrat mereka untuk menentang Kerajaan,"katanya lagi.

Hasan berkata, sehubungan itu, adalah wajar lepasan sekolah diwajibkan menyertai pertubuhan belia bagi mendapatkan pendedahan mengenai sumbangan Kerajaan, sekaligus tidak keliru dengan dakyah parti pembangkang.

"Saya mencadangkan lepasan sekolah secara automatik menjadi ahli persatuan belia di kawasan masing-masing dan juga jadikan ia sebagai pra-syarat untuk memohon kerja di sektor awam mahupun swasta, kerana sebelum memohon pekerjaan, pemohon perlu mengisi borang dan perlu menyatakan aktiviti persatuan yang disertai," katanya lagi.

Sementara itu, Hasan ketika mengulas mengenai Sistem Tabung Ekonomi Belia (STEB), di mana terdapat rungutan di kalangan ahli persatuan belia yang dikatakan sukar membuat pinjaman.

"Saya cadangkan dana ini disimpan di bank, tetapi kelulusan mesti melalui Pejabat Belia Daerah ataupun dana ini diserah kembali kepada Pejabat Belia dan pemohon boleh memohon terus dari pejabat belia dan ini akan melancarkan proses pinjaman,"katanya.

Mohd Nizam berkata, sehingga kini sebanyak 18 permohonan STEB telah diterima dan hanya lima permohonan layak menerima dana STEB.

Monday, March 9, 2009

Kerenah birokrasi lambatkan proses pembangunan

Semua agensi kerajaan khususnya yang terlibat dalam hal ehwal pembangunan masyarakat diminta mengurangkan kerenah birokrasi kerana ia boleh melambatkan proses membangunkan sesuatu kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman (gambar) berkata, kelancaran sesuatu projek pembangunan akan terjejas jika terlalu banyak prosedur perlu dilalui sebelum agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan yang perlu.

Misalnya, kata beliau, di Sungai Rambai sendiri, terdapat beberapa projek pembangunan seperti kawasan industri di kawasan tersebut telah tertangguh sejak lebih lima tahun lalu kerana terlalu banyak prosedur tanah yang perlu dipatuhi.

''Keadaan ini menyebabkan banyak pihak terutama pemaju menjadi putus asa dan tidak berminat menjalankan projek berkenaan malah saya sebagai wakil rakyat juga kadang-kala berasa bosan dengan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Program 'Hampir Setahun Berlalu' dan Majlis Anugerah Kualiti Agensi Kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung anjuran Japerun Sungai Rambai di sini hari ini.

Katanya, kerenah birokrasi dan sikap tidak komited di kalangan penjawat awam akan menyebabkan cita-cita menjadikan Sungai Rambai maju kelak tidak menjadi kenyataan.

''Seluruh agensi perlu mengambil pendekatan bersepadu bagi merealisasikan hasrat menjadikan DUN Sungai Rambai pesat membangun daripada sebuah pekan kecil kepada sebuah kawasan perbandaran baru yang serba moden.

''Kita yakin kedudukan Sungai Rambai yang terletak di pintu masuk utama dari arah selatan amat wajar dijadikan satu landskap pertumbuhan ekonomi baru yang mencerminkan imej Melaka Maju 2010 khususnya di bahagian selatan," katanya.

Beliau berkata, banyak potensi yang boleh diterokai di DUN Sungai Rambai dan dieksploitasi menjadi produk-produk baru yang boleh menjana pertumbuhan sosio-ekonomi di 'Gerbang Selatan' Melaka.

Menurut Hasan, Program 'Hampir Setahun Berlalu' adalah manifestasi kepada usaha berterusan seluruh peringkat kepimpinan dan rakyat setempat di DUN Sungai Rambai bagi memastikan segala projek pembangunan yang sudah dirancang sejak hampir setahun lalu dilaksanakan.

''Setakat ini, saya agak berpuas hati dengan tahap pencapaian Sungai Rambai namun saya merasakan proses pembangunan ini boleh dilakukan dengan lebih cepat jika pihak-pihak tertentu lebih komited dalam soal ini.

''Saya harap sesetengah agensi terbabit dapat menyegerakan sesuatu keputusan dan kelulusan bagi memastikan semua yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Kata beliau, masalah paling ketara penduduk di kawasan tersebut ialah ketiadaan dewan sekolah yang sempurna untuk kegunaan pelajar selain kemudahan beberapa sekolah rendah yang kini tidak mampu menampung pertambahan murid.

Monday, March 2, 2009

Perkim ziarah saudara baru, jalin silaturahim


Masyarakat Islam di negeri ini perlu mengamalkan sikap ziarah-menziarahi terutama di kalangan saudara baru.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Sebatu, Datuk Abu Pit berkata, pendekatan menziarahi saudara seagama boleh mengeratkan lagi silaturahim.

“Selain mengamalkan ziarah, umat Islam juga patut sentiasa bantu-membantu, supaya golongan saudara baru tidak berasa terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bertemu saudara baru yang telah mengikuti kelas bimbingan Fardu Ain.

Turut hadir dalam lawatan itu, Pengerusi Wanita Perkim Cawangan Sebatu, Datin Zawiyah Dawam.

Kelas pada setiap Selasa dan Rabu itu telah diadakan di rumah salah seorang saudara baru Islam, Azman Lye Abdullah.

Selain mengadakan lawatan, Perkim cawangan Sebatu juga turut menghulur sumbangan berupa barangan dapur dan makanan kepada saudara baru yang terlibat, termasuk Noraini Choy Abdullah.

Abu berkata, amalan itu bukan sahaja akan mengeratkan lagi hubungan, malah secara tidak langsung menggambarkan bahawa Islam tidak membezakan bangsa dan warna kulit.

Sementara itu, Azman mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perkim kerana sudi membantunya yang tidak bekerja setelah kakinya cacat.

“Saya bersyukur, kerana selain Perkim, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga turut membantu dengan memberi RM150 sebulan,” katanya.

Sunday, March 1, 2009

SUNGAI RAMBAI KATALIS 'GERBANG SELATAN' MAJU

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai berpotensi menjadi katalis pembangunan 'Gerbang Selatan' Melaka jika semua pihak komited dan serius menjayakan agenda pembangunan seperti yang digariskan dalam sasaran pembangunan 'Seminar Sungai Rambai Maju'.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, seluruh agensi perlu mengambil pendekatan bersepadu bagi merealisasikan hasrat menjadikan DUN Sungai Rambai pesat membangun daripada sebuah pekan kecil kepada sebuah kawasan perbandaran baru yang serba moden.

"Dengan lokasinya yang terletak di pintu masuk utama dari arah selatan, maka amat wajar untuk Sungai Rambai dibangunkan dan dijadikan satu landskap pertumbuhan ekonomi baru yang mencerminkan imej Melaka Maju 2010, khususnya di bahagian selatan," ujar Hasan semasa berucap di Program 'Hampir Setahun Berlalu' dan Majlis Anugerah Kualiti Agensi Kerajaan & JKKK anjuran JAPERUN DUN Sungai Rambai, petang tadi.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azizan Hamid yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar kaseh; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Mohd Yazid Ramli; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Hussin; Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad serta wakil-wakil dari beberapa agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Hasan menjelaskan, banyak potensi dan yang boleh diterokai di DUN Sungai Rambai dan seterusnya dieksploitasi menjadi produk-produk baru yang boleh menjana pertumbuhan sosio-ekonomi di 'Gerbang Selatan' Melaka ini.

Katanya, Program 'Hampir Setahun Berlalu' adalah manifestasi kepada usaha berterusan seluruh peringkat kepimpinan dan rakyat setempat di DUN Sungai Rambai bagi memastikan segala projek pembangunan yang sudah dirancang sejak hampir setahun lalu dilaksanakan.

“Program Hampir Setahun Berlalu ini adalah satu langkah yang diambil oleh JAPERUN DUN Sungai Rambai untuk menilai kembali prestasi perancangan yang disusun menerusi Seminar Sungai Rambai Maju dengan sasaran untuk menjadikan DUN Sungai Rambai menjadi sebuah kawasan yang maju.

“Selepas hampir setahun berlalu dan dengan kejayaan penganjuran seminar itu dijalankan termasuk meletakkan beberapa sasaran seperti Melaka Maju 2010, sasaran itu kini dilihat sudah mula menampakkan hasil dan saya yakin DUN Sungai Rambai mampu menjadi 'sub-district' (daerah kecil) di Jasin,” katanya.

Menurut Hasan, keyakinan beliau itu adalah berdasarkan kepada usaha JAPERUN DUN Sungai Rambai dalam memastikan pelbagai bidang pembangunan terus diberikan perhatian.

Katanya, dalam pembangunan ekonomi, keseimbangan ekonomi akan diberikan perhatian membabitkan semua kaum dengan semua kawasan kilang di kawasan kampung akan diselaraskan dengan pembinaan taman induistri seluas 50 ekar di Pelabuhan Tukar Barang Sungai Rambai.

“Di samping itu, projek Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya AMJ telah dikenal pasti lokasinya dan apabila proses pengambilan tanah selesai, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan mengeluarkan tender pada Julai ini.

“Kawasan bandar baru yang akan dibangunkan oleh pemaju swasta yang turut membabitkan kawasan pekan lama juga akan terus giat dibangunkan dengan penduduk di pekan lama akan dipindahkan ke kawasan pekan baru,” katanya.

Menurut Hasan, pembangunan bidang pendidikan turut ditekankan dengan usaha membawa masuk beberapa pusat pengajian tinggi ke Sungai Rambai.

Katanya, pada dasarnya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah bersetuju untuk membuka cawangan kampusnya di Sungai Rambai yang memberi pengkhususan kepada bidang pengajian Biotek.

“Dengan adanya pusat pengajian tinggi di sini, ia bakal menjadi pemangkin dalam menjadikan Sungai Rambai menjadi Koridor Ilmu Gerbang Selatan,” katanya.

Hasan berkata, tidak ketinggalan, industri pelancongan juga akan turut diberikan perhatian dengan beberapa lokasi akan dijadikan kawasan pelancongan khusus untuk pelancong dalam dan luar negeri.

“DUN Sungai Rambai akan membangunkan projek Homestay kerana sambutan yang diterima daripada pelancong amat menggalakkan serta pembinaan kawasan rekreasi air, aktiviti berkayak dan mengadakan pertandingan memancing.

“Selain itu, berdasarkan kepada permintaan pelancong dari Singapura, New Zealand, Thailand, Filipina serta beberapa negara yang pernah melawat ke sini turut berharap projek pesawat ringan Mikro Light akan dapat dijalankan dan justeru itu JAPERUN DUN Sungai Rambai akan mengadakan Karnival Udara Sungai Rambai pada Jun ini bersempena dengan lawatan belia daripada Negara-Negara Anggota Komanwel ke Sungai Rambai,” katanya.

Hasan berkata, bagi memastikan industri pelancogan di DUN Sungai Rambai terus menjadi perhatian pelancong dalam dan luar negeri, satu Pusat Penerangan Pelancongan akan dibina di sempadan Melaka-Johor dengan kos pembinaan kira-kira RM300,000.

"Alhamdulillah, saya telah mendapat sokongan padu dari seluruh pihak termasuk agensi-agensi Kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan ini. Saya amat berpuashati dengan kerjasama yang mereka berikan selama ini, cuma sesetengah agensi itu percepatkanlah sikit dalam membuat sesuatu keputusan dan kelulusan bagi memastikan semua yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan," ujarnya.