Thursday, December 4, 2008

80 Hektar Jadi Taman Teknologi Pertanian

Tanah terbiar seluas 80 hektar di kawasan Mukim Sebatu, Sungai Rambai disini telah dibangunkan menjadi kawasan Taman Teknologi Pertanian bagi daerah tersebut pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hassan Abd. Rahman berkata, tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) itu sepatutnya telah lama dibangunkan sebelum ini untuk tujuan pusat kajian bagi kajian pertanian di daerah tersebut.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa agensi tersebut termasuk LKIM bagi membincangkan mengenai cadangan tersebut pada masa terdekat ini.

"Saya akan berjumpa dengan pegawai-pegawai LKIM ,Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian negeri bagi membincangkan cadangan mengwujudkan Taman Teknologi Pertanian di kawasan tersebut termasuk idea menjadikannya sebagai pusat kajian pertanian pada masa depan,"katanya.

Berliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bumi Hijau Peringkat DUN Sungai Rambai.

Menurutnya,melalui kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan penglibatan 14 kampung dalam DUN berkenaan, pihaknya yakin cadangan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur kelak.

"Daripada tanah terus terbiar, lebih baik kita bersama-sama bangunkan tanah itu untuk tujuan yang lebih berfaedah demi memberi manfaat kepada penduduk dalam kawasan DUN Sungai Rambai,"katanya.

Katanya, apabila taman pertanian itu telah diwujudkan kelak, ia dijangka mampu menyediakan peluang pekerjaan yang pelbagai bidang kepada penduduk setempat.

Ujarnya,selain dapat manfaatkan tanah terbiar itu, usaha itu mampu menjana pendapatan kepada penduduk kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.