Wednesday, July 15, 2009

Berlangsung 18 Julai Di Jejantas Lebuh AMJ


Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (JAPERUN) Sungai Rambai akan menganjurkan Semarak SUKMA XIII Melaka 2010 pada 18 Julai ini sebagai inisiatif mempromosikan acara sukan berprestij itu kepada seluruh warga Melaka, khususnya di gerbang selatan bersempadan Johor.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia & Sukan Negeri, Hasan Abdul Rahman berkata, pemilihan Melaka selaku tuan rumah acara sukan dwi-tahunan itu merupakan satu penghormatan besar buat seluruh warga Melaka untuk menjadi penganjur terbaik.

"SUKMA XIII Melaka 2010 yang hanya berbaki 319 hari lagi perlu disemarakkan dari sekarang supaya kehadirannya benar-benar dirasai dan dikongsi bersama. Ia juga wajar dipromosikan ke segenap pelusuk negeri agar seluruh masyarakat turut serta menjayakannya," ujar Hasan selepas mempengerusikan Mesyuarat Semarak SUKMA XIII peringkat DUN Sungai Rambai, di Kompleks Japerun Sungai Rambai, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Roselina Idrus; wakil-wakil dari Sekretariat SUKMA XIII, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Jabatan Kerja Raya dan beberapa agensi lain.

Katanya, Semarak SUKMA XIII DUN Sungai Rambai akan menjadi pembuka tirai kepada beberapa siri jelajah promosi besar-besaran sukan berkenaan di peringkat DUN seluruh Melaka.

Beliau menjelaskan, Semarak SUKMA XIII DUN Sungai Rambai akan diadakan di jejantas Lebuh AMJ berhampiran lampu isyarat ke Pekan Sungai Rambai.

Hasan yang juga ADUN Sungai Rambai berkata, majlis tersebut dijangka dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta turut menampilkan barisan atlet-atlet Melaka yang bakal memikul cabaran di sukan berkenaan.

"Kita juga akan edarkan seberapa banyak risalah, pelekat kenderaan dan bendera SUKMA XIII kepada semua pengguna yang melalui Lebuh AMJ dari kedua-dua hala.

"Kita juga minta Sekretariat SUKMA membina replika Tuah yang menjadi maskot SUKMA XIII Melaka 2010 di pintu masuk dari Johor dan satu 'count down' untuk orang ramai sama-sama menghitung hari menjelang acara sukan penuh berprestij itu," ujarnya.