Tuesday, April 22, 2008

Aspek Wujudkan Modal Insan Perlu Diberi Perhatian

Umat Islam di kawasan Dun Sungai Rambai diminta meningkatkan keupayaan diri supaya mereka mampu berhadapan dengan cabaran perubahan dunia yang bergerak pantas. Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Rambai berkata bagi mencapai hasrat itu, aspek mewujudkan modal insan berkualiti perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya dikalangan generasi muda hari ini. YB Hasan memberitahu, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu "Menjana Ummah Gemilang" jelas menuntut agar umat islam berusaha menjadi seorang yang berkualiti dan cemerlang dalam apa juga pencapaian.

"Persekitaran yang bergerak pantas dan mencabar menuntut umat Islam supaya memantapkan kualiti dalam pelbagai aspek, tahap pembangunan dan kemajuan umat Islam perlu dilipat ganda. Kita perlu meneruskan perlaksanaan pelbagai agenda pembangunan kerajaan untuk kesejahteraan seluruh rakyat, selain memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum," katanya ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Kampung Parit Gantung baru-baru ini.

YB Hasan turut meminta umat Islam supaya mencontohi kegemilangan umat Islam yang dicapai bermula dengan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. selain akhlak dan sifat-sifat mulia baginda. Katanya, perpaduan dan kekuatan umat Islam sewajarnya mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri sendiri untuk melihat kemajuan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Penglibatan menyeluruh daripada semua golongan rakyat sudah tentu mampu meberikan impak yang besar dalam merealisasikan kejayaan agenda pembangunan di negeri ini,"katanya.