Tuesday, August 12, 2008

KEMM berjaya rangkul Piala ADUN Sungai Rambai


Kelab Media Massa Melaka (KEMM) mengungguli perlawanan bola sepak bagi merebut piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman apabila menang dengan lambungan duit syiling selepas kedudukan terikat 3-3 dengan pasukan lawan iaitu Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai, baru-baru ini.

Perlawanan yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai itu menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan yang masing-masing menampilkan beberapa pemain berkaliber termasuk beberapa pegawai kanan Kompleks Japerun Sungai Rambai iaitu Setiausahanya, Jalauddin Mamat dan Setiausaha Korporat, Hussin Mohamad.

Sementara KEMM membariskan pemain yang terdiri daripada pengamal media di negeri berkenaan termasuk Badrul Hizar Abd Jabar dari Berita Harian; Meor Riduan Meor Ahmad (Harian Metro); Abd Malex Yahya (The Star); Nashairi Md Nawi (jurugambar NSTP); Mohd Sharil Rosli (Bernama); Mohd Raffi Bachik (TV9) dan Nazri Abu Bakar (Harian Metro).

Hasan yang juga Timbalan Exco Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan negeri berkata, acara sukan seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan setiakawan antara kakitangan Japerun Sungai Rambai dengan pengamal media dapat diteruskan.

“Saya berbangga pihak media dapat memenuhi undangan kami dan saya rasa ia wajar diteruskan supaya hubungan baik ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hasan (empat, kiri berdiri) bersama pasukan KEMM selepas menyampaikan hadiah kepada pemain.