Monday, August 4, 2008

Perkampungan Ilmu bantu tingkatkan pencapaian pelajar

Program Kecemerlangan Pelajar Perkampungan Ilmu 2008 yang diadakan di Kem Modal Insan baru-baru ini bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi pencapaian akademik terutamanya anak-anak pekebun kecil.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, objektif perkampungan ini dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik menjawab soalan peperiksaan dengan mengikut kehendak soalan.

“Di samping itu, para pelajar juga akan mendapat keyakinan diri bagi menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

:“Pihak penganjur seperti Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Jasin dan Japerun Sungai Rambai sendiri mahu membantu meningkatkan peratusan kualiti dan kuantiti kejayaan dalam mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya dalam ucapan perasmian penutup program ini.

“Bidang pendidikan juga turut menjadi agenda utama di DUN Sungai Rambai dalam memastikan para calon SPM mendapat keputusan cemerlang.

“Jika sebelum ini perkampungan bagi murid-murid yang bakal menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) sudah diadakan, kini perkampungan SPM pula diadakan bagi memberi pendekatan kepada pelajar dalam masa terdekat,” ujarnya.

“Kita juga bersetuju untuk menjadikan DUN ini sebagai perkampungan ilmu dan tidak lama lagi kita bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara pihak Universiti Selangor (Unisel) bagi memberi peluang dalam menaik taraf pendidikan para pemimpin tempatan, JKKK serta ketua cawangan.

“Kita mahu menyelaraskan sistem pendidikan mereka dan walaupun mereka belajar setakat tahun enam tetapi dengan ilmu serta pengalaman yang mereka peroleh, ia boleh memberikan pengiktirafan kepada mereka mengikut masa berkhidmat,” jelasnya lagi.