Tuesday, July 29, 2008

216 demam

Penduduk di kawasan Sungai Rambai, dekat sini, gempar sekali lagi apabila seramai 216penduduk di situ mendakwa mengalami demam sejak seminggu lalu dan mereka mengaitkannya dengan jangkitan demam Chikungunya.

Angka itu dikumpul menerusi usaha Jawatankuasa Penyelaras Dewan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai yang bertindak membuka Bilik Gerakan 24 jam memantau perkembangan penyakit itu selepas mendapat banyak aduan daripada penduduk dari lapan kampung di situ yang bimbang kemungkinan penularan virus itu.

Petugas di Japerun turut membuat lawatan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah mengumpul data penduduk yang mengalami demam bagi memastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan virus demam Chikungunya.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin (PKDJ) mengesahkan menerima maklumat daripada Japerun Sungai Rambai, semalam bagaimanapun, menjelaskan demam yang dialami penduduk itu masih tidak boleh dikaitkan akibat jangkitan penyakit Chikungunya.

Pegawai Kesihatan Daerah Jasin, Dr Rusdi Abd Rahman, berkata penduduk yang mendakwa mengalami demam itu perlu menjalani pemeriksaan di klinik serta hospital kerajaan berhampiran.

Katanya, penyakit yang dialami mereka hanya boleh disahkan sama ada berkaitan dengan virus Chikungunya atau sebaliknya, sekiranya ujian darah dilakukan.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan terhadap mereka terlebih dulu. Sepanjang minggu lalu saya hanya boleh mengesahkan seramai enam penduduk di Sungai Rambai yang berusia di antara 10 dan 70 tahun disyaki dijangkiti penyakit Chikungunya berdasarkan simptom,” katanya

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol, turut meluangkan masa melawat dua pesakit itu.