Tuesday, July 15, 2008

Pemuda UMNO Lanchang Dapat Peralatan Sukan


Langkah serta usaha Pemuda UMNO Cawangan Lanchang yang berjaya mendapatkan peralatan sukan dan jersi bola sepak tanpa mendapat peruntukan daripada wakil rakyat mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan tersebut.ADUN Kawasan Sungai Rambai, Hassan Abd Rahman, berkata langkah itu menunjukkan bahawa sekiranya semua ahli bersatu, sesuatu yang mustahil dan sukar dicapai itu pasti dapat di laksanakan dengan berjaya.

Menurut Hassan, beliau amat menghargai kerjasama yang telah dijalankan oleh Pemuda UMNO Cawangan Lanchang yang terus berusaha mendapatkan peralatan sukan dan jersi untuk membolehkan pasukan DUN Sungai Rambai menggunakannya di Sukan Melaka yang sedang berlangsung.

"Kerjasama yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO di dalam mendapatkan peralatan dan jersi pasukan adalah sesuatu yang amat terpuji ini membuktikan kesepaduan yang jitu di kalangan ahli Pemuda,"Katanya. Beliau berkata demikian di majlis penyerahan Kemeja T, jersi dan peralatan sukan badminton dan bola sepak Sukan Melaka kepada Pemuda UMNO Cawangan Lanchang, di Balai Raya Kampung Lanchang, dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Cawangan Lanchang,Norhashim Ahmad; ketua Pemuda UMNO Cawangan Lanchang, Nor Azmi Mahmood dan jurulatih pasukan bola sepak, Robet Sabastian. Terdahulu, dalam ucapannya,Hassan mengingatkan golongan Pemuda khususnya belia di DUN Sungai Rambai supaya tidak berfikiran sempit sebaliknya membuka sikap dan pendirian serta sentiasa inginkan perubahan.

"Pemimpin harus seiring dengan variasi golongan muda agar ianya seiringan ke arah memcapai matlamat dan aspirasi perjuangan dan saya berharap semua pihak dapat merapatkan hubungan dan menjalin semangat kekeluargaan demi kebaikan bersama,"katanya.