Sunday, July 6, 2008

Memorandum Akan DiSerah Kepada PM- GB4B Melaka Bantah AS Campur Tangan Isu Anwar

Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia negeri Melaka yang dianggotai lebih 20,000 orang, hari ini membantah sekeras-kerasnya campur tangan Amerika Syarikat (AS) terhadap isu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan seterusnya menyatakan pendirian teguh menyokong pucuk pimpinan dalam menangani kemelut politik yang sedang berlaku ini.

GB4B Melaka menyifatkan campur tangan kuasa besar itu sebagai biadap serta amat keterlaluan sebagai satu konspirasi jahat mahu mencampuri urusan negara ini.

"Kami akan hantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, minggu depan bagi menyatakan sokongan padu kami terhadap kepimpinan beliau dalam menangani isu berkenaan," tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi GB4B Malaysia, Hassan Rahman di sini malam tadi selepas merasmikan Pesta Sukan Melaka DUN Sungai Rambai di Kompleks Japerun DUN Sungai Rambai.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi GB4B Negeri turut menganggap Anwar sebagai pemimpin yang licik bersandiwara bagi mencapai cita-cita politik peribadinya dan akan memperalatkan sesiapa sahaja termasuk Amerika Syarikat bagi menjayakan agenda jahatnya terhadap bangsa Melayu dan negara.

"Kita bimbang rakyat akan terjebak dengan sandiwara yang dilakonkan itu lebih-lebih lagi bila beliau sengaja mengheret campur tangan dari luar sehingga mencetuskan keresahan serta kebimbangan kepada rakyat.

"Maka atas kebimbangan ini juga, kita menentang sekeras-kerasnya tindakan beliau (Anwar) serta konco-konconya dan mendesak kepimpinan negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang negara terhadap Anwar Ibrahim.

"Kita tidak akan berganjak dengan keputusan GB4B Malaysia yang mahukan kerajaan Malaysia mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Anwar yang dianggap tidak setia kepada negara dan telah mencemari imej negara menderhaka kepada bumi Malaysia," katanya.

Menurut Hasan, beliau percaya kerajaan mempunyai kaedah dan negara mempunyai undang-undang.

"Saya percaya pihak berkuasa sedang berusaha untuk menyelesaikan isu yang sedang berlaku supaya ianya tidak berlarutan.

"Kita berdiri teguh bersama-sama kepimpinan kerajaan kita di bawah pimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama kabinet Malaysia dan juga kepimpinan di peringkat negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; supaya mereka atau sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan sedemikian rupa yang dianggap telah menderhaka kepada negara dikenakan tindakan yang keras.

"Malam ini warga GB4B Melaka serta warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai telahpun bersetuju untuk menandatangani memorandum bantahan dan sokongan kepada negara dan saya percaya malam ini sahaja kita mampu mendapatkan 4,000 tanda tangan bagi warga Sungai Rambai," katanya.

Hasan berkata, dengan adanya memorandum ini kepimpinan negara tidak akan teragak-agak dan menjadi pendorong kepada badan-badan lain bahkan rakyat jelata di seluruh negara untuk turut sama membantah tindakan yang dilakukan oleh anwar.

"Ada cerita yang beliau akan bersumpah di hadapan mufti dengan al-Quran, tetapi pada saya ianya tidak perlu kerana dalam hal ini kita tidak perlu mempersendakan al-Quran dan jangan gunakan agama sebagai alat.

"Kita ada saluran yang tertentu, jika melalui siasatan sudah terbukti, untuk apa lagi bersumpah dan jika siasatan menunjukkan tiada bukti bahawa beliau (Anwar) tidak melakukan perbuatan tidak baik itu, maka beliau bebaslah, apa nak ditakutkan,"katanya.

Tegas beliau, GB4B amat dukacita, jika al-Quran dijadikan alat untuk kepentingan diri, agama Islam dan al-Quran tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menunjukkan yang kita benar, biarlah siasatan yang menentukan.

Ditanya bilakah memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, beliau menjelaskan, "Saya akan menghantar memorandum ini serta merta atas nama Melaka dan perkara ini tidak boleh tangguh, saya nak hantar cepat melalui Ketua Menteri sebagai Presiden GB4B Malaysia dan seterusnya akan dipanjangkan kepada kepimpinan negara,"katanya.