Sunday, July 27, 2008

Sukan Permotoran 4X4 Kerajaan Dicadang Bina Trek


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Hasan Abdul Rahman bercadang untuk mengemukakan idea kepada kerajaan negeri untuk membina sebuah trek bagi sukan permotoran 4x4.

Beliau turut bercadang untuk mengenalpasti lokasi yang bersesuaian untuk membina trek sukan bermotor supaya aktiviti sukan itu diadakan di trek yang lebih mencabar.
"Trek yang sedia ada di tengah bandar, di Cheng ini dilihat agak terhad dan sebagai tanda sokongan terhadap sukan lasak dan mencabar ini, saya akan mengemukakan idea kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Jambori 4x4 2008, Anjuran Kelab Sukan Bermotor 4x4 Melaka di Taman Teknologi Cheng, di sini, hari ini.

"Kegiatan sukan ini juga patut disusun dengan lebih baik dan berdisiplin supaya ia dapat dilihat sebagai satu sukan yang sihat dan memberi kesan yang positif kepada orang ramai," katanya lagi.

Menurut Hasan, jambori yang diadakan buat kali ketujuh di Melaka itu juga merupakan salah satu usaha mempopularkan sukan pelancongan di Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan Bermotor 4x4 Melaka, Lim Choo Hock pula berkata, program yang dipertandingkan melibatkan 50 buah kenderaan 4x4 dengan 100 orang peserta.

"Jambori atau pertandingan ini disertai oleh peminat-peminat sukan bermotor 4x4 dari Melaka, Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan, Thailand dan juga Singapura," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua kategori pertandingan iaitu Kelas A: 2401 CC ke atas dan Kelas B: 2401 CC ke bawah.

"Tapak yang sedia ada di bina menelan belanja sebanyak RM30,000 yang terletak di Cheng ini mempunyai tujuh trek cabaran untuk menguji tahap kecekapan pemanduan peminat sukan ini," katanya lagi.

Jambori yang diadakan selama tiga hari bermula semalam itu melibatkan kos kira-kira RM50,000 dan jumlah keseluruhan hadiah pula bernilai RM30,000.