Monday, March 9, 2009

Kerenah birokrasi lambatkan proses pembangunan

Semua agensi kerajaan khususnya yang terlibat dalam hal ehwal pembangunan masyarakat diminta mengurangkan kerenah birokrasi kerana ia boleh melambatkan proses membangunkan sesuatu kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman (gambar) berkata, kelancaran sesuatu projek pembangunan akan terjejas jika terlalu banyak prosedur perlu dilalui sebelum agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan yang perlu.

Misalnya, kata beliau, di Sungai Rambai sendiri, terdapat beberapa projek pembangunan seperti kawasan industri di kawasan tersebut telah tertangguh sejak lebih lima tahun lalu kerana terlalu banyak prosedur tanah yang perlu dipatuhi.

''Keadaan ini menyebabkan banyak pihak terutama pemaju menjadi putus asa dan tidak berminat menjalankan projek berkenaan malah saya sebagai wakil rakyat juga kadang-kala berasa bosan dengan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Program 'Hampir Setahun Berlalu' dan Majlis Anugerah Kualiti Agensi Kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung anjuran Japerun Sungai Rambai di sini hari ini.

Katanya, kerenah birokrasi dan sikap tidak komited di kalangan penjawat awam akan menyebabkan cita-cita menjadikan Sungai Rambai maju kelak tidak menjadi kenyataan.

''Seluruh agensi perlu mengambil pendekatan bersepadu bagi merealisasikan hasrat menjadikan DUN Sungai Rambai pesat membangun daripada sebuah pekan kecil kepada sebuah kawasan perbandaran baru yang serba moden.

''Kita yakin kedudukan Sungai Rambai yang terletak di pintu masuk utama dari arah selatan amat wajar dijadikan satu landskap pertumbuhan ekonomi baru yang mencerminkan imej Melaka Maju 2010 khususnya di bahagian selatan," katanya.

Beliau berkata, banyak potensi yang boleh diterokai di DUN Sungai Rambai dan dieksploitasi menjadi produk-produk baru yang boleh menjana pertumbuhan sosio-ekonomi di 'Gerbang Selatan' Melaka.

Menurut Hasan, Program 'Hampir Setahun Berlalu' adalah manifestasi kepada usaha berterusan seluruh peringkat kepimpinan dan rakyat setempat di DUN Sungai Rambai bagi memastikan segala projek pembangunan yang sudah dirancang sejak hampir setahun lalu dilaksanakan.

''Setakat ini, saya agak berpuas hati dengan tahap pencapaian Sungai Rambai namun saya merasakan proses pembangunan ini boleh dilakukan dengan lebih cepat jika pihak-pihak tertentu lebih komited dalam soal ini.

''Saya harap sesetengah agensi terbabit dapat menyegerakan sesuatu keputusan dan kelulusan bagi memastikan semua yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Kata beliau, masalah paling ketara penduduk di kawasan tersebut ialah ketiadaan dewan sekolah yang sempurna untuk kegunaan pelajar selain kemudahan beberapa sekolah rendah yang kini tidak mampu menampung pertambahan murid.