Tuesday, September 2, 2008

Sekolah Sukan Melaka akan dibina tahun 2009

Timbalan Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Hassan Abd Rahman memberitahu, Melaka akan membina sebuah Sekolah Sukan Negeri (SSN), di Stadium Hang Jebat, seawal 2009, sekiranya projek pembinaan ini diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Jelasnya, projek pembinaan sekolah sukan ini, masih berada dalam proses perbincangan dengan pihak kementerian bagi mendapatkan kelulusan secara rasmi daripada mereka.

“Penyediaan kertas kerja untuk sekolah ini telah pun disiapkan, malah kerajaan negeri sendiri telah bersetuju sepenuhnya mengenai projek terbabit.

“Kini, kita hanya tunggu keputusan dan kelulusan daripada pihak kementerian pelajaran sahaja.

“Walaupun lokasi bagi pembinaan sekolah tersebut tidak dipersetujui oleh pihak kementerian, tetapi kerajaan negeri tetap ingin meneruskan perancangannya membina SSN, di Stadium Hang Jebat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Tambahnya, matlamat utama sekolah tersebut dibina di situ bertujuan memberi kemudahan dan menyenangkan pelajar-pelajar untuk terus meningkatkan prestasi dalam bidang masing-masing.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan sekolah yang akan dibina itu, mempunyai infrastruktur yang lengkap dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian.

“Apa yang kita harapkan, dengan kemudahan yang ada di stadium tersebut, dan sekolah sukan yang bakal didirikan itu, dapat melahirkan atlet muda yang berpotensi ke arah menyumbang pingat kepada negeri khususnya, dan kepada negara amnya,” katanya