Wednesday, September 24, 2008

UMNO Lanchang kacau dodol, masak bubur

Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Cawangan Lanchang baru-baru ini menganjurkan majlis gotong-royong memasak dodol dan bubur lambuk.

Ketua Wanita, Norhayati Ramly berkata, program pada hari tersebut mendapat kerjasama yang amat baik daripada penduduk setempat.

“Sokongan yang diterima daripada penduduk tempatan juga amat memberangsangkan.

“Saya amat berterima kasih di atas segala pertolongan dan kerjasama mereka yang sudi hadir menghulurkan bantuan dan bersama-sama bergotong-royong menyiapkan bahan-bahan untuk di masak pada hari ini,” katanya.

Kesemua bungkusan dodol dan bubur lambuk tersebut juga telah diagih-agihkan kepada penduduk di seluruh kampung, katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Cawangan, Nor Azmi Mahmood pula memberitahu, program gotong-royong ini merupakan sebahagian daripada acara tahunan yang diadakan setiap kali Ramadan.

“Ia bagi mewujudkan suasana kerjasama dan saling bantu-membantu di samping mengeratkan lagi hubungan yang telah sedia ada di kalangan penduduk tempatan.

“Melalui program sebegini semangat kerjasama akan lebih terjalin di samping dapat menghidupkan semula suasana hidup bersatu-padu yang dilihat kian terhakis di kalangan masyarakat pada masa kini,” jelasnya.

Katanya, meskipun aktiviti gotong-royong ini diadakan pada bulan Ramadan, namun kemesraan dan keharmonian terjalin dalam melakukan kerja-kerja tersebut.

“Walaupun ia dilakukan pada bulan puasa, penduduk yang hadir menghulurkan bantuan tetap gembira dan sebuah jalinan ikatan kekeluargaan jelas terpancar sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Nor Azmi turut memberitahu, jika program ini mendapat sambutan daripada penduduk kampung, pihaknya turut merancang untuk mengadakan aktiviti sebegini pada tahun-tahun seterusnya.

“Di harapkan apabila aktiviti sebegini diadakan pada masa akan datang, budaya gotong-royong akan dapat diteruskan.

“Semangat kejiranan yang ditonjolkan akan memberi ruang kepada golongan belia khususnya untuk menyertai aktiviti seperti ini,” katanya.