Tuesday, April 28, 2009

Aktiviti Kem Rakan Muda penuhi musim cuti sekolah

Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menawarkan aktiviti untuk pelajar semasa musim cuti sekolah melalui kem Rakan Muda Jiran Muda dan program hujung minggu di kawasan perumahan melalui program ‘Weekend Champs’.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin berkata, dalam laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-Sembilan di bawah elemen pembangunan keluarga dan insan, program Rakan Muda berupaya menawarkan aktiviti kepada hampir dua juta belia remaja di negara ini.

Menurutnya, matlamatnya adalah untuk melahirkan belia remaja yang mempunyai nilai positif dan berkeperibadian murni dan ini akan dapat diterapkan menerusi penyertaan aktif remaja dalam aktiviti masa lapang.

“Justeru, program Rakan Muda Sekolah ini diyakini dapat membantu kerajaan menemui kumpulan sasarannya secara lebih dekat dan tersusun.

“Penggemblengan tenaga antara kedua-dua jabatan ini diharap akan dapat merealisasikan hasrat untuk melahirkan belia yang cemerlang pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Pelancaran Rakan Muda Sekolah peringkat Negeri Melaka di Pusat Kokurikulum Merlimau, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Isa Abu; Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Rakan Muda) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Wasitah Yusof; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, R Effendi Razali.

Katanya, mulai tahun ini, sebanyak 2,181 sekolah menengah di seluruh negara akan berpeluang untuk mendapatkan pendedahan kepada aktiviti Rakan Muda yang ditawarkan bagi mengisi masa senggang mereka.

“Ini terutama pada masa luar waktu persekolahan dan pelajar akan berpeluang menggunakan kemudahan untuk menjalankan aktiviti seperti Kompleks Rakan Muda, Kompleks Belia dan Sukan dan pusat siber Rakan Muda di samping beberapa insentif tambahan yang disediakan melalui kad keahlian Rakan Muda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Datuk Karim Sulaiman berkata, program Rakan Muda yang berasaskan kepada lapan gaya hidup Rakan Muda diyakini dapat memberi pilihan kepada pelajar sekolah sekali gus dapat melengkapkan sistem kokurikulum di sekolah.

“Justeru, jumlah kumpulan sasaran program Rakan Muda akan terus meningkat dan ini memerlukan penumpuan dari aspek pelaksanaan program masa lapang yang mampu membina sikap dan peribadi yang baik bagi memastikan kesinambungan dalam pembangunan negara,” katanya.