Monday, April 6, 2009

RM131.4 juta bangunkan Sungai Rambai

Lima projek pembangunan yang sebahagiannya sedang dalam pembinaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dianggarkan menelan kos kira-kira RM131.4 juta menerusi projek Pelan Sungai Rambai Maju (SRM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman berkata, projek yang mula dilaksanakan tahun ini itu akan menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pertumbuhan pembangunan seimbang membabitkan aspek ekonomi, pendidikan, pelancongan dan kerohanian.

Katanya, satu daripada projek yang sedang dilaksanakan adalah menaik taraf Masjid Batu Gajah bernilai RM3.8 juta.

''Selain itu, kita juga masih menunggu kelulusan beberapa jabatan dan kementerian untuk melaksanakan empat lagi projek yang mempunyai kepentingan secara langsung kepada penduduk DUN Sungai Rambai," katanya di sini hari ini.

Antaranya adalah projek pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu bernilai RM7.8 juta, SK Parit Gantung (RM3.8 juta), mewujudkan kawasan rehat dan rawat (R&R), Taman Industri Sungai Rambai (RM115 juta) dan Sekolah Rendah Agama Sebatu (RM1 juta).

''Selain Jabatan Kerja Raya, projek pembangunan ini turut membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan negeri berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti industri yang berpotensi untuk dibangunkan di Sungai Rambai sejajar pelaksanaan pelan SRM itu.

Katanya, tanah seluas 20 hektar di Pekan Sungai Rambai akan dibangunkan untuk dijadikan kawasan industri dan bakal menempatkan kilang yang ketika ini bertaburan di sekitar DUN berkenaan.

''Semua rancangan tersebut adalah untuk menjadikan Sungai Rambai sebagai sebuah organisasi berdaya maju, berwawasan serta aktif dalam menyelaras dan melaksanakan projek pembangunan di kawasan berkenaan.

''Usaha ini diharap dapat mewujudkan keseragaman kehidupan dan perolehan baru, bersesuaian dengan harapan kerajaan untuk menjadikan kawasan luar bandar yang aktif serta pembangunan dilaksanakan secara sistematik,'' katanya.