Sunday, April 26, 2009

Realisasi AgendaMendesakan Belia

Semua agensi Kerajaan di negeri ini disaran membantu merealisasikan Program Mendesakan Belia untuk memperkasakan golongan belia sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, agensi Kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri (JPNINM) disaran membina lebih banyak pusat kegiatan belia seperti gelanggang pelbagai guna di setiap kampung di DUN Sungai Rambai untuk mendesakan kembali kegiatan belia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman, berkata golongan belia khususnya di kawasan luar bandar merupakan aset negara dan kegiatan mereka harus diberi perhatian.

“Program mendesakan kegiatan belia seharusnya mendapat perhatian daripada agensi Kerajaan supaya pelbagai kemudahan prasarana dapat disediakan untuk golongan belia,” katanya.

Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia & Sukan Negeri berkata demikian ketika melancarkan Program Mendesakan Kegiatan Belia Peringkat DUN Sungai Rambai di Kompleks JAPERUN DUN Sungai Rambai , disini, petang tadi.

Program itu merupakan anjuran Japerun Sungai Rambai dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Jasin dan Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri (JKMM).

Turut hadir, Pengarah Bahagian Sahabat Belia,Mohd Nizam Omar, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN), Abdul Manaf Abdul Rahman, Penghulu Kanan Daerah Jasin, Lazan Ali dan Penghulu DUN Sungai Rambai, Ariff Umar. Katanya lagi, Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan dua gelanggang pelbagai guna di DUN Sungai Rambai untuk digunakan oleh golongan belia di 14 kampung di DUN itu.

Namun menyedari kapasiti besar golongan belia di DUN itu, Hasan menyarankan agar penambahan bilangan gelanggang di laksanakan secepat mungkin.

Hasan mahu JPNINM menyediakan empat gelanggang sukan yang dinamakan Gelanggang Perpaduan dan KEMAS menyediakan empat gelanggang yang dikenali dengan nama Gelanggang Rakyat di DUN Sungai Rambai.

“ Gelanggang ini amat penting kerana ia akan menarik penyertaan belia di luar bandar untuk terus menyertai aktiviti yang disediakan dan tidak mencari alternatif lain seperti melepak di Kompleks membeli belah di pusat bandar," katanya.

Selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu menjadikan Melaka sebagai 'Negeri Belia', DUN Sungai Rambai akan dijadikan sebagai DUN Belia dengan mendesakan kegiatan belia di kawasan itu.

Hasan seterusnya berharap kepada semua pertubuhan belia di negeri ini agar menggerakkan aktiviti mereka di peringkat desa bagi memastikan pertubuhan belia terus relevan menjadi persatuan yang mampu melahirkan generasi pewaris kepimpinan.