Sunday, April 19, 2009

DUN Sungai Rambai anjur program penerangan Kempen Satu Malaysia

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menjadi DUN pertama di negeri ini menganjurkan program penerangan Kempen Satu Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman berkata, melalui program itu, pihaknya berpeluang memberi penerangan dan maklumat yang jelas mengenai kempen tersebut kepada pemimpin pelbagai kaum di kawasan itu.

Menurutnya, kempen penerangan mengenai gagasan Perdana Menteri itu harus digerakkan di seluruh peringkat DUN di negeri ini agar ia dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat mengenai aspirasi pucuk pimpinan negara.

''Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan merupakan satu slogan yang amat dalam maksudnya dan program penerangan mengenainya perlu digerakkan kepada semua kaum agar mereka jelas tentang konsep kempen ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Satu Malaysia DUN Sungai Rambai dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA DUN Sungai Rambai yang turut dihadiri lebih 200 ahli UMNO, MCA dan MIC di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan kempen itu perlu dijayakan oleh semua pemimpin pelbagai kaum di negeri ini agar ikatan perpaduan yang terjalin tetap utuh biarpun terdapat perbezaan ideologi politik.

Usaha itu, katanya, penting agar masyarakat tidak mudah terkeliru dan terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sengaja ingin menganggu-gugat keamanan negara melalui fitnah perkauman yang dicetuskan oleh mereka.

Serentak itu, kata Hasan, pihaknya telah menggerakkan kakitangan Japerun Sungai Rambai untuk menemui pelbagai lapisan masyarakat di kawasan itu bersama-sama parti komponen MCA dan MIC.