Wednesday, February 11, 2009

Nasib Joharie dapat perhatian

Seorang warga emas, Joharie Nahim, 80, terpaksa menghadapi kesukaran untuk bergerak sejak setahun lalu ekoran menghadapi masalah penglihatan.

Menurutnya, sejak isterinya meninggal kira-kira setahun lalu, penglihatannya semakin kabur ekoran selaput pada mata, sekali gus menyebabkan dia terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, selain terpaksa meraba-raba ketika mencari barang keperluan.

“Saya juga terpaksa memegang dinding rumah untuk memudahkan pergerakan di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Harmoni, semalam.

Menurut Joharie, biarpun mempunyai sembilan anak, tetapi kini masing-masing mempunyai keluarga dan tinggal berjauhan.

Bagaimanapun, dia tetap cekal dan mampu untuk meneruskan kehidupan dengan sedikit bantuan seorang anaknya yang tinggal berhampiran dan jiran tetangga.

“Saya memang tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana masih mampu berjalan biarpun tidak mampu melihat apa-apa lagi, terutama pada waktu malam. Saya ingin melihat semula biarpun tidak dapat melihat dengan jelas,” katanya yang menerima kunjungan daripada Timbalan Pengerusi Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Hasan Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau Utara, Abd Nasir Bazid.

Dalam kunjungan itu, Hasan menyumbang sejumlah wang sebagai bantuan permulaan untuk membantu warga emas terbabit memiliki cermin mata dan mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Kata Hasan, pembedahan untuk merawat penyakit selaput mata yang dialami Joharie sudah diatur oleh anak lelakinya pada akhir bulan ini.

“Kita akan membuat pantauan perkembangan penyakit selaput mata yang dialami oleh Joharie dan memastikan pembedahan yang diatur kelak berjalan lancar.

“Dan melalui pegawai JKM yang baru mengadakan siasatan ke atas Joharie dan telah memberi jaminan telah meluluskan bantuan sebanyak RM300 kepada Joharie sebagai bantuan bulanan,” katanya.