Monday, February 2, 2009

Program desak belia sertai sukan

Kerajaan Melaka akan memperkenalkan Program Mendesakan Belia dalam usaha untuk menggalakkan golongan belia di negeri ini terbabit dengan aktiviti sukan yang semakin dilupakan berikutan kemunculan sukan moden dan permainan video.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Hasan Abd Rahman, berkata antara aktiviti itu termasuklah penganjuran pertandingan sepak takraw, bola jaring, badminton dan bola sepak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai berkata, berdasarkan kajian mendapati, kebanyakan generasi muda pada masa ini lebih menggemari sukan moden seperti futsal dan boling selain permainan video.

"Usaha menghidupkan kembali sukan berkenaan dijangka mampu menyemarakkan lagi aktiviti di kalangan belia desa sekali gus mempertahankan ia daripada hilang ditelan zaman. Maka itu, bagi menjayakan usaha ini, kita minta semua persatuan belia di negeri ini menjadi penggerak kepada program ini," katanya selepas menyertai Program Sembang Warung Kopi di Batu Gajah, di sini.

Hasan berkata, menerusi Program Mendesakan Belia yang bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat ini, ia akan memberi banyak manfaat kepada belia luar bandar apabila kerajaan negeri bersedia menaik taraf gelanggang sepak takraw yang rosak selain menyediakan kemudahan sukan berkaitan.

"Saya lihat punca sebenar belia luar bandar tidak aktif kerana keadaan kemudahan sukan yang tidak diselia dengan betul. Saya harap menerusi program ini, ia akan membantu mereka aktif semula dengan sukan yang diperkenalkan oleh orang lama itu," katanya.
Sementara itu, Program Sembang Warung Kopi yang diperkenalkan itu bertujuan mendengar masalah masyarakat menerusi sembang bersama orang kampung.

Hasan berkata, menerusi aktiviti itu, segala masalah membabitkan infrastruktur, kebajikan serta ekonomi penduduk dapat diselesaikan secara cepat dan berkesan.