Monday, February 2, 2009

Team Siput Sedut dapat pengiktirafan Japerun

Sekumpulan 21 belia yang terlibat dalam usaha mencari seorang pencari siput sedut yang sesat hampir 12 jam baru-baru ini, mendapat pengiktirafan daripada Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai.

Belia dari Jalan Datuk Nawar, Kampung Ayer Tawar itu yang akan digabung dalam pasukan bergelar Team Siput Sedut, akan menerima sijil penghargaan sempena penubuhan Skuad Bomba dan Penyelamat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, pada minggu hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, pasukan terbabit akan menjalankan tugas sebagai penyelamat bersama-sama anggota bomba dari Jabatan Bomba untuk membantu di sekitar kawasan DUN ini.

“Usaha yang dilakukan belia tempatan ini sangat membanggakan. Walaupun mereka tidak dipaksa membantu pasukan bomba mencari mangsa, namun semangat dan kerjasama yang dihulurkan pada waktu itu seharusnya mendapat pujian dan pengiktirafan.

‘Justeru, pengiktirafan ini adalah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus membantu menyelamatkan mangsa di kawasan paya bakau di sini, baru-baru ini,” katanya.

Katanya, diharapkan pengiktirafan yang diberikan Japerun akan menyuntik semangat belia lain untuk turut sama membantu ketika kecemasan pada masa hadapan.

Sinar Harian pada 26 Januari lalu menyiarkan mengenai kehilangan seorang pengawal keselamatan, Muhamad Yasin Dol, 44, dari Kampung Chabau yang sesat ketika mencari siput bersama dua lagi rakannya di kawasan hutan paya bakau berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Kejadian itu disedari dua rakannya apabila mangsa tidak keluar bersama mereka untuk makan tengah hari kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Selepas puas mencari, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rambai pada jam 6 petang sebelum operasi mencari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Merlimau, polis serta belia tempatan.

Muhamad Yasin ditemui Team Siput Sedut itu kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam keadaan lemah sebelum dibawa keluar sejam kemudian.