Monday, July 20, 2009

Sungai Rambai DUN Pertama Miliki Kiosk MHI Di Melaka

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai muncul sebagai pelopor Kiosk Akhbar Rasmi Kerajaan Negeri iaitu Melaka Hari Ini (MHI) apabila menubuhkan Kiosk MHI pertama di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman berkata, langkah itu dilaksanakan kerana MHI sudah memiliki kelompok pembacanya sendiri.

Pelbagai renovasi yang dilakukan menjadikan MHI kini berwajah baru serta mempunyai khalayak pembaca baru.

"Saya berharap langkah menubuhkan kiosk MHI ini mendapat sokongan dari semua pihak dan kalau ia berjaya, kita akan membuka kiosk MHI di setiap cawangan di DUN Sungai Rambai,"katanya.

Hasan berkata demikian semasa berucap merasmikan Kiosk MHI Sungai Rambai di perkarangan Pejabat POS Sungai Rambai, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Ketua Penyunting MHI, Roslan Mohamad, Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Sungai Rambai dan kakitangan MHI.

Kiosk MHI Sungai Rambai terletak di tepi jalan utama Jalan Melaka-Muar antara Pejabat POS Sungai Rambai dan Stesen Minyak Pekan Sungai Rambai berhadapan Klinik Kesihatan Sungai Rambai.

Kawasan kiosk disifatkan sebagai strategik kerana ia merupakan kawasan tumpuan masyarakat dari luar Melaka terutamanya, Muar, Johor.

Penjualan MHI secara terbuka diharap dapat mewujudkan satu 'trademark' MHI di negeri ini, selain membolehkan akhbar ini terus mendapat tempat di hati pembaca di negeri ini.

Kiosk MHI Sungai Rambai dimiliki oleh seorang penduduk, Selamat Sidek. Selain menjual akhbar, kiosk itu turut menjual pelbagai makanan ringan yang lain.