Monday, February 23, 2009

Sungai Rambai bakal dapat pondok bomba

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan menubuhkan sebuah pondok bomba sukarela bagi memudahkan langkah kecemasan diambil sekiranya berlaku kebakaran di kawasan itu pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman berkata, sebelum ini bantuan kecemasan kebakaran hanya diperoleh dari kawasan Merlimau yang kedudukannya terletak kira-kira lima kilometer dari Sungai Rambai.

Menurutnya, pondok bomba tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan asas kebakaran dan ditempatkan di kawasan Kompleks Japerun Sungai Rambai.

''Kita berharap dengan adanya kemudahan pondok bomba sukarela ini ia sedikit sebanyak membantu masyarakat dalam DUN Sungai Rambai mendapat bantuan kecemasan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela DUN Sungai Rambai yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Nik Zulkifli Ibrahim di sini hari ini.

Selain itu, Hasan mencadangkan agar semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibekalkan dengan peralatan menyelamat bagi memudahkan langkah keselamatan awal diambil sebelum anggota penyelamat tiba di tempat kejadian.

''Ia bertujuan memberi kemudahan kepada mereka melakukan kerja-kerja menyelamat apabila berlakunya kejadian atau bencana alam kerana mereka merupakan antara orang pertama yang berada di tempat kejadian," katanya.

Pada masa yang sama, kata Hasan, kesedaran dan memiliki pengetahuan bagi mencegah kebakaran daripada berlaku amat penting dalam usaha mengurangkan kejadian tersebut.

''Dengan adanya pasukan bomba sukarela ini, ia bukan sahaja membantu mengurangkan insiden kebakaran malah memberi situasi yang lebih selamat kepada masyarakat setempat.

''Kewujudan pasukan ini juga amat praktikal memandangkan kawasan Sungai Rambai terletak kira-kira sembilan kilometer atau lebih kurang 15 minit perjalanan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau," katanya.

Sementara itu, menurut Nik Zulkifli, seramai 80 orang telah mendaftar sebagai Ahli Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rambai dan akan bertugas mengikut giliran di Japerun Sungai Rambai.

Ujarnya, skuad baru itu berfungsi sebagai ''Orang Pertama' sekiranya berlaku sesuatu insiden kebakaran sebelum anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat sampai di tempat kejadian.

''Usaha menubuhkan pasukan ini harus dipuji kerana ia mempunyai inisiatif dan kesedaran yang tinggi dalam menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela.

''Selain itu, pasukan ini juga diharap dapat menyebarkan pengetahuan dan maklumat tentang langkah-langkah pencegahan kebakaran kepada orang ramai sekali gus dapat mengurangkan kejadian kebakaran," katanya.

Thursday, February 19, 2009

Sungai Rambai bakal miliki pusat informasi pelancongan

Kementerian Pelancongan bersetuju mewujudkan pusat informasi pelancongan di Sungai Rambai, dekat sini, bagi memudahkan pengunjung, khususnya dari arah Selatan mendapatkan maklumat mengenai kawasan tumpuan ramai di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman, berkata pusat itu yang bakal dibina di atas kawasan seluas 1.2 hektar, bakal menempatkan pelbagai maklumat terkini mengenai lokasi pelancongan baru dan lama.

Katanya, selain menyediakan maklumat berkenaan, pusat itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan beriadah bagi membolehkan pengunjung berehat di situ, sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pilihan masing-masing.

"Kita mahu ia menjadi lokasi untuk berehat dan beriadah bersama keluarga. Sebelum pelancong berkunjung ke Bandaraya Melaka, mereka akan singgah dulu di pusat informasi pelancongan ini untuk berehat, selaras dengan slogan `Melawat Sungai Rambai Bererti Melawat Melaka' yang diperkenalkan baru-baru ini," katanya selepas melancarkan landskap baru persimpangan Parit Putat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 1,000 pokok hiasan pelbagai jenis ditanam di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bagi menceria dan mencantikkan lagi pemandangan di situ. Antara pokok perhiasan yang ditanam adalah Kesinai, Macathuri, Palm Cycas dan Revoluta.

Hadir sama, bekas Adun Sungai Rambai, Datuk Abd Azis Abd Ghani; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin dan Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad.

Wednesday, February 18, 2009

Jayakan program landskap baru


Penduduk Sungai Rambai dekat sini diminta meningkatkan usaha menanam pokok bunga hiasan di samping sayur-sayuran dan buahan di halaman rumah serta tanah terbiar milik mereka bagi mewujudkan landskap baru daerah itu.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman berkata, masih banyak tanah terbiar di kawasan itu yang boleh dibangunkan menjadi kawasan landskap baru di kawasan itu bagi menambahkan tarikan Sungai Rambai.

Katanya, agensi kerajaan berkaitan terutama Majlis Perbandaran Jasin (MSJ) dan Pejabat Daerah Jasin turut sama mengerakkan aktiviti penanaman pelbagai pokok hiasan di sekitar kawasan terbabit bagi membantu memperindahkan lagi Sungai Rambai.

''Kita turut diberi peruntukan keseluruhan sebanyak RM115 juta khusus untuk projek pembangunan landskap baru DUN Sungai Rambai dan ia akan digerakkan sepanjang tahun ini," katanya di sini hari ini.

Katanya, usaha agresif memperbanyakkan landskap baru di sekitar Sungai Rambai itu akan diteruskan sehingga menjelang tahun 2010.

Katanya, peruntukan tersebut melibatkan usaha membangunkan kawasan sejauh 10 kilometer berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) bagi pembinaan hentian rehat dan rawat (R&R) berhampiran persimpangan Parit Sungai Putat.

''Dengan adanya R&R ini, ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong dari Johor dan Singapura untuk singgah di Sungai Rambai dan ia akan menjadi pemangkin pembangunan Gerbang Selatan negeri ini,'' katanya.

Pada masa yang sama, kata Hasan, MPJ juga bersetuju untuk mewujudkan pintu gerbang di setiap tiga pintu masuk di DUN Sungai Rambai yang akan dibina tidak lama lagi secara berperingkat.

Katanya, ia bertujuan untuk memperkenalkan nama-nama kampung yang terdapat dalam DUN Sungai Rambai kepada pelawat luar.

''Kita juga akan menanam 1,000 batang pokok hiasan di sepanjang Lebuh AMJ dalam DUN Sungai Rambai dalam usaha memperindahkan persekitaran landskap Sungai Rambai pada masa depan.

''Antara pokok yang akan ditanam ialah pokok bunga hiasan seperti Kesinai, Macathuri Palm, Cycas dan Revoluta yang menonjolkan imej baru Sungai Rambai kepada pengunjung luar.

''Pokok hiasan jenis Macathuri akan ditanam pada kiri kanan jalan di sekitar kawasan R&R bagi menambahkan lagi keceriaan di kawasan ini pada masa akan datang," jelas beliau.

Wajah baru Sungai Rambai


Program landskap Sungai Rambai akan mengubah kawasan sekeliling pekan, kampung termasuk Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) menjadi tarikan menarik apabila pelbagai pokok hiasan seperti bunga jenis kesinai dan macathuri akan ditanam di kawasan tersebut tidak lama lagi.

Untuk tujuan itu, penduduk bersama-sama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memperhebatkan kegiatan menanam pelbagai jenis pokok bunga termasuk sayuran dan buah-buahan di halaman rumah bagi menjayakan program yang dilancarkan baru-baru ini.

Usaha tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang ingin melihat Sungai Rambai berwajah baru setanding dengan beberapa daerah lain di negeri ini.

Rata-rata penduduk yang ditemui Utusan Malaysia melahirkan rasa gembira mereka dengan langkah menjadikan Sungai Rambai menjadi salah sebuah daerah yang paling menarik dengan ditanam pelbagai jenis pokok bunga hiasan.

Malah mereka melihat program yang dilancarkan itu akan dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat membangunkan pekan lama seperti Sungai Rambai menjadi lebih baik daripada apa yang dinikmati sekarang.

Seorang penduduk, Selamat Adeh, 50, berkata, sebagai anak jati Sungai Rambai, dia sentiasa mengharapkan agar kampung kelahirannya itu membangun menjadi kawasan yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong luar untuk datang ke negeri ini.

Katanya, jika dibandingkan dengan keadaan Sungai Rambai lima atau 10 tahun lalu, keadaan persekitarannya jauh berbeza berbanding pada hari ini kerana banyak perubahan telah dilakukan di kawasan itu.

''Apabila program landskap diperkenalkan di Sungai Rambai ia akan dapat menyerikan dan mengindahkan lagi kawasan persekitaran di sini.

''Namun saya berpendapat, program ini tidak mampu mencapai objektifnya jika hanya segelintir penduduk dari kawasan ini mengambil bahagian, ia memerlukan komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan yang terbabit," katanya.

Selamat yang juga pesara kerajaan berkata, bagi menjayakan program landskap baru Sungai Rambai itu, penduduk boleh memainkan peranan dengan mengerakkan kegiatan Bumi Hijau di kawasan kediaman masing-masing.

Azlan Fadhil, 45, pula berpendapat, usaha pengindahan Sungai Rambai pada masa ini oleh pihak kerajaan amat bertepatan pada waktunya memandangkan kawasan itu merupakan pintu masuk utama pelancong dari Johor khususnya Muar dan Batu Pahat.

''Jika Sungai Rambai mempunyai tarikan tersendiri ia sudah pasti menarik lebih ramai pengunjung luar dari Melaka untuk melawat kawasan ini pada masa depan.

''Lihat sahaja pada majlis sambutan Malam Cahaya Pelita yang diadakan sebelum ini, di mana salah sebuah kampung di Sungai Rambai muncul juara pertandingan itu.

''Boleh dikatakan hampir setiap malam selama sebulan ada sahaja pelancong luar berkunjung.

"Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu nama Sungai Rambai cukup popular kerana sepanjang AMJ pada laluan Sungai Rambai dipenuhi lampu hiasan dan pelita pelbagai bentuk sehingga menarik tumpuan pelawat luar," katanya.

Juriah Salam, 32, berkata, usaha mengubah suai keadaan landskap Sungai Rambai itu bertepatan sekali dengan usaha dan projek kemajuan yang diatur di kawasan tersebut pada masa ini.

Katanya, kewujudan landskap sekali gus menceriakan lagi pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) dan pusat membeli-belah di AMJ Sungai Rambai tidak lama lagi.

''Saya harap pihak berkenaan akan menambah lagi usaha menanam pokok bunga yang berwarna-warni dan menarik di sepanjang lebuh raya Sungai Rambai, tidaklah suram sahaja malah kewujudan lebih banyak pokok itu nanti meredupkan kawasan lebuh raya itu kelak," katanya.

Asmah Abdul Ghani, 45, memberitahu dia sudah pun memulakan usaha menanam sayuran dan buahan di halaman rumah kerana terlalu teruja untuk melihat perubahan landskap berlaku di Sungai Rambai.

''Saya mahu Sungai Rambai popular dan setanding dengan tempat lain yang jauh lebih membangun berbanding kawasan ini malah saya ingin pastikan pelancong luar yang hanya melalui AMJ Sungai Rambai akan terpegun melihat perubahan landskap baru Sungai Rambai," katanya.

Wednesday, February 11, 2009

Nasib Joharie dapat perhatian

Seorang warga emas, Joharie Nahim, 80, terpaksa menghadapi kesukaran untuk bergerak sejak setahun lalu ekoran menghadapi masalah penglihatan.

Menurutnya, sejak isterinya meninggal kira-kira setahun lalu, penglihatannya semakin kabur ekoran selaput pada mata, sekali gus menyebabkan dia terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, selain terpaksa meraba-raba ketika mencari barang keperluan.

“Saya juga terpaksa memegang dinding rumah untuk memudahkan pergerakan di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Harmoni, semalam.

Menurut Joharie, biarpun mempunyai sembilan anak, tetapi kini masing-masing mempunyai keluarga dan tinggal berjauhan.

Bagaimanapun, dia tetap cekal dan mampu untuk meneruskan kehidupan dengan sedikit bantuan seorang anaknya yang tinggal berhampiran dan jiran tetangga.

“Saya memang tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana masih mampu berjalan biarpun tidak mampu melihat apa-apa lagi, terutama pada waktu malam. Saya ingin melihat semula biarpun tidak dapat melihat dengan jelas,” katanya yang menerima kunjungan daripada Timbalan Pengerusi Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Hasan Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau Utara, Abd Nasir Bazid.

Dalam kunjungan itu, Hasan menyumbang sejumlah wang sebagai bantuan permulaan untuk membantu warga emas terbabit memiliki cermin mata dan mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Kata Hasan, pembedahan untuk merawat penyakit selaput mata yang dialami Joharie sudah diatur oleh anak lelakinya pada akhir bulan ini.

“Kita akan membuat pantauan perkembangan penyakit selaput mata yang dialami oleh Joharie dan memastikan pembedahan yang diatur kelak berjalan lancar.

“Dan melalui pegawai JKM yang baru mengadakan siasatan ke atas Joharie dan telah memberi jaminan telah meluluskan bantuan sebanyak RM300 kepada Joharie sebagai bantuan bulanan,” katanya.

Tuesday, February 10, 2009

Merentas Desa MSSM SHANKER, MEI CHYI JAGUH BAWAH 18 TAHUN


Ravi Shanker dan Lee Mei Chyi masing-masing menjuarai kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan dalam acara sukan Merentas Desa peringkat negeri Majlis Sukan Sekolah-sekolah Melaka (MSSM), yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, pagi semalam.

Shanker, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah, melakukan catatan masa terbaik 22:52 saat dan Lee Mei

Chyi dari SMK Notre Dame, Gajah Berang, pula mencatat masa 30:49 saat, dalam perlumbaan sejauh enam kilometer itu.

Kedua-dua pelajar itu sekaligus dinobatkan sebagai ‘jaguh’ dalam acara merentas desa peringkat negeri Melaka 2009.

Sementara dalam kategori yang sama bahagian lelaki pula, Morgan Kuhan dari SMK Dato’ Naning yang mencatat masa 23:00 minit mengugguli tempat kedua.

Manakala tempat ketiga dimenangi pelajar Gopie Vishnuderan Gopie dari SMK Seri Pengkalan yang mencatat kepantasan 23:08 saat.

Bagi kategori perempuan pula, naib juara dimenangi Pandia Sudha dari SMK Dato’ Haji Talib Karim yang mencatat 31:13 saat sementara peserta Nur Hanisah Ahrom dari SMK Tinggi Perempuan, menduduki tempat ketiga dengan catatan 32:01 saat.

Seramai 527 peserta dari 64 buah sekolah menengah dan lebih 500 peserta dari 135 buah sekolah rendah seluruh negeri Melaka telah mengambil bahagian dalam acara tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman telah merasmikan dan melepaskan para peserta di SK Serkam Darat.

Sementara Pengarah Pelajaran Melaka (JPM), Isa Abu menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Jasin (PPD), Yusof Ahmad serta ibu bapa dan staf JPM.

Monday, February 9, 2009

Mahasiswa Dinasihat Tidak Lupa Sejarah

Golongan mahasiswa dinasihatkan tidak melupakan sejarah dan asal-usul dalam menghayati perjumpaan pemimpin dan masyarakat terdahulu agar mampu menjadi insan yang lebih berguna pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hassan Abd Rahman berkata, sejarah yang tercipta merupakan rujukkan yang sangat berguna supaya masyarakat khususnya pelajar dan mahasiswa mengetahui latar belakang sesuatu pekara dengan jelas.

Menurutnya, kemajuan negara dan pembangunan rakyat sekarang tidak akan mampu dicapai tanpa usaha gigih pemimpin dan masyarakat terdahulu.

"Hakikatnya, kini kita sebenarnya menikmati hasil daripada perjuangan nenek moyang kita. kita harus berusaha dengan lebih gigih untuk memcapai kejayaan dan kecemerlangan yang lebih tinggi,"katanya.

Menurut Hassan, Mahasiswa juga bukan sahaja perlu memiliki, memahami dan mengamalkan ilmu yyang di peroleh, malah mereka perlu mempunyai kejakinan serta kesedaran akan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

Mengenai prgam tersebut, Hasan berharap mahasiswa dapat menghayati tatacara penulisan yang sebenar di samping memberi perhatian yang terperinci kepada semua pekara khasnya pegerakkan masyarakat kampung.

Tuesday, February 3, 2009

Cari formula perangkap babi hutan

Satu formula kini sedang dirancang dalam usaha memasang perangkap babi hutan yang berkeliaran di beberapa kawasan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, antara kawasan yang dikesan menjadi tempat haiwan liar ini berkeliaran adalah Parit Perawas, Sebatu, Air Tawar dan Batu Gajah.

Menurutnya, pihak Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Japerun Sungai Rambai telah mengadakan perbincangan dengan pegawai daripada Perhilitan untuk mengadakan operasi hampir setiap malam.

“Selain daripada pegawai Perhilitan, beberapa pemburu persendirian juga terlibat dalam operasi ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Air Tawar, Majid Main, 62, berkata, pihaknya telah meminta agar Perhilitan bertindak segera dalam usaha menangani masalah babi hutan yang banyak memusnahkan hasil tanaman penduduk.

“Babi hutan yang berkeliaran di kawasan kampung ini dikhuatiri membawa wabak dan kami takut kejadian buruk akan berlaku di kampung ini.

“Justeru, kami mengharapkan agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku selain mengharapkan kerjasama penduduk kampung untuk membersihkan kawasan tanah terbiar mereka,” katanya.

Majid berkata, tanah terbiar milik penduduk diharap dapat dibersihkan bagi mengelakkan kawasan berkenaan menjadi tempat pembiakan babi hutan.

Pengerusi JKKK Sebatu, Sidang Pasbul Samat, 62, pula berkata, hampir setiap hari dia menerima aduan daripada penduduk menyatakan masalah hasil tanaman mereka musnah kerana babi hutan.

“Perhilitan pernah mengadakan tinjauan sebanyak dua kali di kawasan ini kira-kira empat bulan lalu, dan mereka turut berjanji akan datang semula dengan membawa pemburu persendirian untuk membantu memusnahkan babi hutan itu.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini masih tiada tindakan diambil untuk membantu penduduk kampung,” katanya.

Pihaknya berharap agar Perhilitan dapat membantu penduduk menangani masalah haiwan liar ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sinar Harian pada 16 Januari lalu pernah menyiarkan mengenai permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.

Babi hutan ini dikatakan menjadi punca kemusnahan hasil tanaman yang diusahakan oleh penduduk kampung.

Monday, February 2, 2009

Team Siput Sedut dapat pengiktirafan Japerun

Sekumpulan 21 belia yang terlibat dalam usaha mencari seorang pencari siput sedut yang sesat hampir 12 jam baru-baru ini, mendapat pengiktirafan daripada Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai.

Belia dari Jalan Datuk Nawar, Kampung Ayer Tawar itu yang akan digabung dalam pasukan bergelar Team Siput Sedut, akan menerima sijil penghargaan sempena penubuhan Skuad Bomba dan Penyelamat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, pada minggu hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, pasukan terbabit akan menjalankan tugas sebagai penyelamat bersama-sama anggota bomba dari Jabatan Bomba untuk membantu di sekitar kawasan DUN ini.

“Usaha yang dilakukan belia tempatan ini sangat membanggakan. Walaupun mereka tidak dipaksa membantu pasukan bomba mencari mangsa, namun semangat dan kerjasama yang dihulurkan pada waktu itu seharusnya mendapat pujian dan pengiktirafan.

‘Justeru, pengiktirafan ini adalah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus membantu menyelamatkan mangsa di kawasan paya bakau di sini, baru-baru ini,” katanya.

Katanya, diharapkan pengiktirafan yang diberikan Japerun akan menyuntik semangat belia lain untuk turut sama membantu ketika kecemasan pada masa hadapan.

Sinar Harian pada 26 Januari lalu menyiarkan mengenai kehilangan seorang pengawal keselamatan, Muhamad Yasin Dol, 44, dari Kampung Chabau yang sesat ketika mencari siput bersama dua lagi rakannya di kawasan hutan paya bakau berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Kejadian itu disedari dua rakannya apabila mangsa tidak keluar bersama mereka untuk makan tengah hari kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Selepas puas mencari, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rambai pada jam 6 petang sebelum operasi mencari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Merlimau, polis serta belia tempatan.

Muhamad Yasin ditemui Team Siput Sedut itu kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam keadaan lemah sebelum dibawa keluar sejam kemudian.

Program desak belia sertai sukan

Kerajaan Melaka akan memperkenalkan Program Mendesakan Belia dalam usaha untuk menggalakkan golongan belia di negeri ini terbabit dengan aktiviti sukan yang semakin dilupakan berikutan kemunculan sukan moden dan permainan video.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Hasan Abd Rahman, berkata antara aktiviti itu termasuklah penganjuran pertandingan sepak takraw, bola jaring, badminton dan bola sepak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai berkata, berdasarkan kajian mendapati, kebanyakan generasi muda pada masa ini lebih menggemari sukan moden seperti futsal dan boling selain permainan video.

"Usaha menghidupkan kembali sukan berkenaan dijangka mampu menyemarakkan lagi aktiviti di kalangan belia desa sekali gus mempertahankan ia daripada hilang ditelan zaman. Maka itu, bagi menjayakan usaha ini, kita minta semua persatuan belia di negeri ini menjadi penggerak kepada program ini," katanya selepas menyertai Program Sembang Warung Kopi di Batu Gajah, di sini.

Hasan berkata, menerusi Program Mendesakan Belia yang bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat ini, ia akan memberi banyak manfaat kepada belia luar bandar apabila kerajaan negeri bersedia menaik taraf gelanggang sepak takraw yang rosak selain menyediakan kemudahan sukan berkaitan.

"Saya lihat punca sebenar belia luar bandar tidak aktif kerana keadaan kemudahan sukan yang tidak diselia dengan betul. Saya harap menerusi program ini, ia akan membantu mereka aktif semula dengan sukan yang diperkenalkan oleh orang lama itu," katanya.
Sementara itu, Program Sembang Warung Kopi yang diperkenalkan itu bertujuan mendengar masalah masyarakat menerusi sembang bersama orang kampung.

Hasan berkata, menerusi aktiviti itu, segala masalah membabitkan infrastruktur, kebajikan serta ekonomi penduduk dapat diselesaikan secara cepat dan berkesan.