Wednesday, February 18, 2009

Jayakan program landskap baru


Penduduk Sungai Rambai dekat sini diminta meningkatkan usaha menanam pokok bunga hiasan di samping sayur-sayuran dan buahan di halaman rumah serta tanah terbiar milik mereka bagi mewujudkan landskap baru daerah itu.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman berkata, masih banyak tanah terbiar di kawasan itu yang boleh dibangunkan menjadi kawasan landskap baru di kawasan itu bagi menambahkan tarikan Sungai Rambai.

Katanya, agensi kerajaan berkaitan terutama Majlis Perbandaran Jasin (MSJ) dan Pejabat Daerah Jasin turut sama mengerakkan aktiviti penanaman pelbagai pokok hiasan di sekitar kawasan terbabit bagi membantu memperindahkan lagi Sungai Rambai.

''Kita turut diberi peruntukan keseluruhan sebanyak RM115 juta khusus untuk projek pembangunan landskap baru DUN Sungai Rambai dan ia akan digerakkan sepanjang tahun ini," katanya di sini hari ini.

Katanya, usaha agresif memperbanyakkan landskap baru di sekitar Sungai Rambai itu akan diteruskan sehingga menjelang tahun 2010.

Katanya, peruntukan tersebut melibatkan usaha membangunkan kawasan sejauh 10 kilometer berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) bagi pembinaan hentian rehat dan rawat (R&R) berhampiran persimpangan Parit Sungai Putat.

''Dengan adanya R&R ini, ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong dari Johor dan Singapura untuk singgah di Sungai Rambai dan ia akan menjadi pemangkin pembangunan Gerbang Selatan negeri ini,'' katanya.

Pada masa yang sama, kata Hasan, MPJ juga bersetuju untuk mewujudkan pintu gerbang di setiap tiga pintu masuk di DUN Sungai Rambai yang akan dibina tidak lama lagi secara berperingkat.

Katanya, ia bertujuan untuk memperkenalkan nama-nama kampung yang terdapat dalam DUN Sungai Rambai kepada pelawat luar.

''Kita juga akan menanam 1,000 batang pokok hiasan di sepanjang Lebuh AMJ dalam DUN Sungai Rambai dalam usaha memperindahkan persekitaran landskap Sungai Rambai pada masa depan.

''Antara pokok yang akan ditanam ialah pokok bunga hiasan seperti Kesinai, Macathuri Palm, Cycas dan Revoluta yang menonjolkan imej baru Sungai Rambai kepada pengunjung luar.

''Pokok hiasan jenis Macathuri akan ditanam pada kiri kanan jalan di sekitar kawasan R&R bagi menambahkan lagi keceriaan di kawasan ini pada masa akan datang," jelas beliau.