Thursday, February 19, 2009

Sungai Rambai bakal miliki pusat informasi pelancongan

Kementerian Pelancongan bersetuju mewujudkan pusat informasi pelancongan di Sungai Rambai, dekat sini, bagi memudahkan pengunjung, khususnya dari arah Selatan mendapatkan maklumat mengenai kawasan tumpuan ramai di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman, berkata pusat itu yang bakal dibina di atas kawasan seluas 1.2 hektar, bakal menempatkan pelbagai maklumat terkini mengenai lokasi pelancongan baru dan lama.

Katanya, selain menyediakan maklumat berkenaan, pusat itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan beriadah bagi membolehkan pengunjung berehat di situ, sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pilihan masing-masing.

"Kita mahu ia menjadi lokasi untuk berehat dan beriadah bersama keluarga. Sebelum pelancong berkunjung ke Bandaraya Melaka, mereka akan singgah dulu di pusat informasi pelancongan ini untuk berehat, selaras dengan slogan `Melawat Sungai Rambai Bererti Melawat Melaka' yang diperkenalkan baru-baru ini," katanya selepas melancarkan landskap baru persimpangan Parit Putat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 1,000 pokok hiasan pelbagai jenis ditanam di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bagi menceria dan mencantikkan lagi pemandangan di situ. Antara pokok perhiasan yang ditanam adalah Kesinai, Macathuri, Palm Cycas dan Revoluta.

Hadir sama, bekas Adun Sungai Rambai, Datuk Abd Azis Abd Ghani; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin dan Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad.