Monday, February 23, 2009

Sungai Rambai bakal dapat pondok bomba

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan menubuhkan sebuah pondok bomba sukarela bagi memudahkan langkah kecemasan diambil sekiranya berlaku kebakaran di kawasan itu pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman berkata, sebelum ini bantuan kecemasan kebakaran hanya diperoleh dari kawasan Merlimau yang kedudukannya terletak kira-kira lima kilometer dari Sungai Rambai.

Menurutnya, pondok bomba tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan asas kebakaran dan ditempatkan di kawasan Kompleks Japerun Sungai Rambai.

''Kita berharap dengan adanya kemudahan pondok bomba sukarela ini ia sedikit sebanyak membantu masyarakat dalam DUN Sungai Rambai mendapat bantuan kecemasan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela DUN Sungai Rambai yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Nik Zulkifli Ibrahim di sini hari ini.

Selain itu, Hasan mencadangkan agar semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibekalkan dengan peralatan menyelamat bagi memudahkan langkah keselamatan awal diambil sebelum anggota penyelamat tiba di tempat kejadian.

''Ia bertujuan memberi kemudahan kepada mereka melakukan kerja-kerja menyelamat apabila berlakunya kejadian atau bencana alam kerana mereka merupakan antara orang pertama yang berada di tempat kejadian," katanya.

Pada masa yang sama, kata Hasan, kesedaran dan memiliki pengetahuan bagi mencegah kebakaran daripada berlaku amat penting dalam usaha mengurangkan kejadian tersebut.

''Dengan adanya pasukan bomba sukarela ini, ia bukan sahaja membantu mengurangkan insiden kebakaran malah memberi situasi yang lebih selamat kepada masyarakat setempat.

''Kewujudan pasukan ini juga amat praktikal memandangkan kawasan Sungai Rambai terletak kira-kira sembilan kilometer atau lebih kurang 15 minit perjalanan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau," katanya.

Sementara itu, menurut Nik Zulkifli, seramai 80 orang telah mendaftar sebagai Ahli Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rambai dan akan bertugas mengikut giliran di Japerun Sungai Rambai.

Ujarnya, skuad baru itu berfungsi sebagai ''Orang Pertama' sekiranya berlaku sesuatu insiden kebakaran sebelum anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat sampai di tempat kejadian.

''Usaha menubuhkan pasukan ini harus dipuji kerana ia mempunyai inisiatif dan kesedaran yang tinggi dalam menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela.

''Selain itu, pasukan ini juga diharap dapat menyebarkan pengetahuan dan maklumat tentang langkah-langkah pencegahan kebakaran kepada orang ramai sekali gus dapat mengurangkan kejadian kebakaran," katanya.