Tuesday, February 3, 2009

Cari formula perangkap babi hutan

Satu formula kini sedang dirancang dalam usaha memasang perangkap babi hutan yang berkeliaran di beberapa kawasan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, antara kawasan yang dikesan menjadi tempat haiwan liar ini berkeliaran adalah Parit Perawas, Sebatu, Air Tawar dan Batu Gajah.

Menurutnya, pihak Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Japerun Sungai Rambai telah mengadakan perbincangan dengan pegawai daripada Perhilitan untuk mengadakan operasi hampir setiap malam.

“Selain daripada pegawai Perhilitan, beberapa pemburu persendirian juga terlibat dalam operasi ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Air Tawar, Majid Main, 62, berkata, pihaknya telah meminta agar Perhilitan bertindak segera dalam usaha menangani masalah babi hutan yang banyak memusnahkan hasil tanaman penduduk.

“Babi hutan yang berkeliaran di kawasan kampung ini dikhuatiri membawa wabak dan kami takut kejadian buruk akan berlaku di kampung ini.

“Justeru, kami mengharapkan agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku selain mengharapkan kerjasama penduduk kampung untuk membersihkan kawasan tanah terbiar mereka,” katanya.

Majid berkata, tanah terbiar milik penduduk diharap dapat dibersihkan bagi mengelakkan kawasan berkenaan menjadi tempat pembiakan babi hutan.

Pengerusi JKKK Sebatu, Sidang Pasbul Samat, 62, pula berkata, hampir setiap hari dia menerima aduan daripada penduduk menyatakan masalah hasil tanaman mereka musnah kerana babi hutan.

“Perhilitan pernah mengadakan tinjauan sebanyak dua kali di kawasan ini kira-kira empat bulan lalu, dan mereka turut berjanji akan datang semula dengan membawa pemburu persendirian untuk membantu memusnahkan babi hutan itu.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini masih tiada tindakan diambil untuk membantu penduduk kampung,” katanya.

Pihaknya berharap agar Perhilitan dapat membantu penduduk menangani masalah haiwan liar ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sinar Harian pada 16 Januari lalu pernah menyiarkan mengenai permasalahan yang dihadapi penduduk setempat.

Babi hutan ini dikatakan menjadi punca kemusnahan hasil tanaman yang diusahakan oleh penduduk kampung.