Wednesday, February 18, 2009

Wajah baru Sungai Rambai


Program landskap Sungai Rambai akan mengubah kawasan sekeliling pekan, kampung termasuk Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) menjadi tarikan menarik apabila pelbagai pokok hiasan seperti bunga jenis kesinai dan macathuri akan ditanam di kawasan tersebut tidak lama lagi.

Untuk tujuan itu, penduduk bersama-sama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memperhebatkan kegiatan menanam pelbagai jenis pokok bunga termasuk sayuran dan buah-buahan di halaman rumah bagi menjayakan program yang dilancarkan baru-baru ini.

Usaha tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang ingin melihat Sungai Rambai berwajah baru setanding dengan beberapa daerah lain di negeri ini.

Rata-rata penduduk yang ditemui Utusan Malaysia melahirkan rasa gembira mereka dengan langkah menjadikan Sungai Rambai menjadi salah sebuah daerah yang paling menarik dengan ditanam pelbagai jenis pokok bunga hiasan.

Malah mereka melihat program yang dilancarkan itu akan dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat membangunkan pekan lama seperti Sungai Rambai menjadi lebih baik daripada apa yang dinikmati sekarang.

Seorang penduduk, Selamat Adeh, 50, berkata, sebagai anak jati Sungai Rambai, dia sentiasa mengharapkan agar kampung kelahirannya itu membangun menjadi kawasan yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong luar untuk datang ke negeri ini.

Katanya, jika dibandingkan dengan keadaan Sungai Rambai lima atau 10 tahun lalu, keadaan persekitarannya jauh berbeza berbanding pada hari ini kerana banyak perubahan telah dilakukan di kawasan itu.

''Apabila program landskap diperkenalkan di Sungai Rambai ia akan dapat menyerikan dan mengindahkan lagi kawasan persekitaran di sini.

''Namun saya berpendapat, program ini tidak mampu mencapai objektifnya jika hanya segelintir penduduk dari kawasan ini mengambil bahagian, ia memerlukan komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan yang terbabit," katanya.

Selamat yang juga pesara kerajaan berkata, bagi menjayakan program landskap baru Sungai Rambai itu, penduduk boleh memainkan peranan dengan mengerakkan kegiatan Bumi Hijau di kawasan kediaman masing-masing.

Azlan Fadhil, 45, pula berpendapat, usaha pengindahan Sungai Rambai pada masa ini oleh pihak kerajaan amat bertepatan pada waktunya memandangkan kawasan itu merupakan pintu masuk utama pelancong dari Johor khususnya Muar dan Batu Pahat.

''Jika Sungai Rambai mempunyai tarikan tersendiri ia sudah pasti menarik lebih ramai pengunjung luar dari Melaka untuk melawat kawasan ini pada masa depan.

''Lihat sahaja pada majlis sambutan Malam Cahaya Pelita yang diadakan sebelum ini, di mana salah sebuah kampung di Sungai Rambai muncul juara pertandingan itu.

''Boleh dikatakan hampir setiap malam selama sebulan ada sahaja pelancong luar berkunjung.

"Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu nama Sungai Rambai cukup popular kerana sepanjang AMJ pada laluan Sungai Rambai dipenuhi lampu hiasan dan pelita pelbagai bentuk sehingga menarik tumpuan pelawat luar," katanya.

Juriah Salam, 32, berkata, usaha mengubah suai keadaan landskap Sungai Rambai itu bertepatan sekali dengan usaha dan projek kemajuan yang diatur di kawasan tersebut pada masa ini.

Katanya, kewujudan landskap sekali gus menceriakan lagi pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) dan pusat membeli-belah di AMJ Sungai Rambai tidak lama lagi.

''Saya harap pihak berkenaan akan menambah lagi usaha menanam pokok bunga yang berwarna-warni dan menarik di sepanjang lebuh raya Sungai Rambai, tidaklah suram sahaja malah kewujudan lebih banyak pokok itu nanti meredupkan kawasan lebuh raya itu kelak," katanya.

Asmah Abdul Ghani, 45, memberitahu dia sudah pun memulakan usaha menanam sayuran dan buahan di halaman rumah kerana terlalu teruja untuk melihat perubahan landskap berlaku di Sungai Rambai.

''Saya mahu Sungai Rambai popular dan setanding dengan tempat lain yang jauh lebih membangun berbanding kawasan ini malah saya ingin pastikan pelancong luar yang hanya melalui AMJ Sungai Rambai akan terpegun melihat perubahan landskap baru Sungai Rambai," katanya.