Sunday, March 1, 2009

SUNGAI RAMBAI KATALIS 'GERBANG SELATAN' MAJU

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai berpotensi menjadi katalis pembangunan 'Gerbang Selatan' Melaka jika semua pihak komited dan serius menjayakan agenda pembangunan seperti yang digariskan dalam sasaran pembangunan 'Seminar Sungai Rambai Maju'.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, seluruh agensi perlu mengambil pendekatan bersepadu bagi merealisasikan hasrat menjadikan DUN Sungai Rambai pesat membangun daripada sebuah pekan kecil kepada sebuah kawasan perbandaran baru yang serba moden.

"Dengan lokasinya yang terletak di pintu masuk utama dari arah selatan, maka amat wajar untuk Sungai Rambai dibangunkan dan dijadikan satu landskap pertumbuhan ekonomi baru yang mencerminkan imej Melaka Maju 2010, khususnya di bahagian selatan," ujar Hasan semasa berucap di Program 'Hampir Setahun Berlalu' dan Majlis Anugerah Kualiti Agensi Kerajaan & JKKK anjuran JAPERUN DUN Sungai Rambai, petang tadi.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azizan Hamid yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar kaseh; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Mohd Yazid Ramli; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Hussin; Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad serta wakil-wakil dari beberapa agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Hasan menjelaskan, banyak potensi dan yang boleh diterokai di DUN Sungai Rambai dan seterusnya dieksploitasi menjadi produk-produk baru yang boleh menjana pertumbuhan sosio-ekonomi di 'Gerbang Selatan' Melaka ini.

Katanya, Program 'Hampir Setahun Berlalu' adalah manifestasi kepada usaha berterusan seluruh peringkat kepimpinan dan rakyat setempat di DUN Sungai Rambai bagi memastikan segala projek pembangunan yang sudah dirancang sejak hampir setahun lalu dilaksanakan.

“Program Hampir Setahun Berlalu ini adalah satu langkah yang diambil oleh JAPERUN DUN Sungai Rambai untuk menilai kembali prestasi perancangan yang disusun menerusi Seminar Sungai Rambai Maju dengan sasaran untuk menjadikan DUN Sungai Rambai menjadi sebuah kawasan yang maju.

“Selepas hampir setahun berlalu dan dengan kejayaan penganjuran seminar itu dijalankan termasuk meletakkan beberapa sasaran seperti Melaka Maju 2010, sasaran itu kini dilihat sudah mula menampakkan hasil dan saya yakin DUN Sungai Rambai mampu menjadi 'sub-district' (daerah kecil) di Jasin,” katanya.

Menurut Hasan, keyakinan beliau itu adalah berdasarkan kepada usaha JAPERUN DUN Sungai Rambai dalam memastikan pelbagai bidang pembangunan terus diberikan perhatian.

Katanya, dalam pembangunan ekonomi, keseimbangan ekonomi akan diberikan perhatian membabitkan semua kaum dengan semua kawasan kilang di kawasan kampung akan diselaraskan dengan pembinaan taman induistri seluas 50 ekar di Pelabuhan Tukar Barang Sungai Rambai.

“Di samping itu, projek Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya AMJ telah dikenal pasti lokasinya dan apabila proses pengambilan tanah selesai, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan mengeluarkan tender pada Julai ini.

“Kawasan bandar baru yang akan dibangunkan oleh pemaju swasta yang turut membabitkan kawasan pekan lama juga akan terus giat dibangunkan dengan penduduk di pekan lama akan dipindahkan ke kawasan pekan baru,” katanya.

Menurut Hasan, pembangunan bidang pendidikan turut ditekankan dengan usaha membawa masuk beberapa pusat pengajian tinggi ke Sungai Rambai.

Katanya, pada dasarnya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah bersetuju untuk membuka cawangan kampusnya di Sungai Rambai yang memberi pengkhususan kepada bidang pengajian Biotek.

“Dengan adanya pusat pengajian tinggi di sini, ia bakal menjadi pemangkin dalam menjadikan Sungai Rambai menjadi Koridor Ilmu Gerbang Selatan,” katanya.

Hasan berkata, tidak ketinggalan, industri pelancongan juga akan turut diberikan perhatian dengan beberapa lokasi akan dijadikan kawasan pelancongan khusus untuk pelancong dalam dan luar negeri.

“DUN Sungai Rambai akan membangunkan projek Homestay kerana sambutan yang diterima daripada pelancong amat menggalakkan serta pembinaan kawasan rekreasi air, aktiviti berkayak dan mengadakan pertandingan memancing.

“Selain itu, berdasarkan kepada permintaan pelancong dari Singapura, New Zealand, Thailand, Filipina serta beberapa negara yang pernah melawat ke sini turut berharap projek pesawat ringan Mikro Light akan dapat dijalankan dan justeru itu JAPERUN DUN Sungai Rambai akan mengadakan Karnival Udara Sungai Rambai pada Jun ini bersempena dengan lawatan belia daripada Negara-Negara Anggota Komanwel ke Sungai Rambai,” katanya.

Hasan berkata, bagi memastikan industri pelancogan di DUN Sungai Rambai terus menjadi perhatian pelancong dalam dan luar negeri, satu Pusat Penerangan Pelancongan akan dibina di sempadan Melaka-Johor dengan kos pembinaan kira-kira RM300,000.

"Alhamdulillah, saya telah mendapat sokongan padu dari seluruh pihak termasuk agensi-agensi Kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan ini. Saya amat berpuashati dengan kerjasama yang mereka berikan selama ini, cuma sesetengah agensi itu percepatkanlah sikit dalam membuat sesuatu keputusan dan kelulusan bagi memastikan semua yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan," ujarnya.