Thursday, March 19, 2009

Nur Nabila lega datuk sedia jaga empat cucunya


Kesediaan Kasim Maa'rof menjaga keempat-empat cucunya memberi harapan baru kepada Nur Nabila Osman, 17, untuk terus tinggal serumah bersama adik-adiknya.

Keputusan tersebut disuarakan oleh Kasim selepas keluarga malang itu dikunjungi kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kemudiannya memberi jaminan akan menyalurkan bantuan kewangan RM400 sebulan.

Keputusan datuknya itu disambut gembira oleh Nur Nabila. Dia tidak perlu lagi bimbang memikirkan perkara yang amat ditakutinya iaitu mereka empat beradik terpaksa dipisahkan.

Lebih membahagiakan bagi gadis itu apabila dia turut ditawarkan tempat sama ada di Pusat GiatMara, Merlimau atau Institut Kemahiran Belia Negara, Masjid Tanah.

''Alhamdulillah, semuanya berjalan baik dan saya tidak perlu lagi bimbang tentang adik-adik, malah saya juga boleh tumpukan masa kepada kursus memasak di pusat kemahiran nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah empat beradik malang itu dipaparkan menerusi laporan akhbar hari ini tentang keluhan hati Nur Nabila memikirkan nasib dua daripada adiknya yang akan dihantar ke rumah kebajikan kerana Kasim tidak mampu memelihara mereka.

Ibu mereka, Maimunah Kasim, 52, meninggal Sabtu minggu lalu dan bapanya kini menetap di Johor Bahru. Mereka kini menumpang di rumah datuk di Kampung Lubuk Kasau, Bemban sejak empat tahun lalu.

Hanya Nur Nabila dan Mohd. Aidil, 16, tidak bersekolah, manakala Mohd. Asyraf, 13, dan Nur Fahana, 10 tahun, masing-masing berada di tingkatan satu dan darjah empat di salah sebuah sekolah di Bemban.

Penderitaan nasib empat beradik itu turut mendapat perhatian Timbalan Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri yag juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman yang meluangkan masa melawat keluarga empat beradik tersebut.