Wednesday, March 18, 2009

Mansuhkan Lembaga Disiplin UMNO

Keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding pada pemilihan minggu depan membawa kepada cadangan supaya lembaga itu dimansuhkan.

Beberapa pemimpin mencadangkan supaya tugas lembaga berkenaan diserahkan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu ketika mengetengahkan idea itu berkata, kewujudan Lembaga Disiplin parti hanya akan memberi gambaran negatif terhadap parti selain memburukkan lagi situasi yang dihadapi parti ketika ini.

Menurutnya, kewujudan lembaga itu hanya akan ‘membongkar’ kelemahan UMNO dan apabila sesuatu isu itu diketahui umum, ia akan mengundang pandangan negatif khalayak terhadap parti.

“Semua yang dibongkar oleh Lembaga Disiplin parti, masyarakat akan melihat lebih ke arah negatif.

“Ia seolah-olah menggambarkan lembaga ini berkepentingan kepada sesetengah ahli dan perhubungan tertentu.

“Oleh bab itu, masalah rasuah (salah laku) eloklah serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih berkecuali dan lain-lain hal diputuskan Jawatankuasa Pengurusan UMNO,” katanya.

Md Sirat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Katil, bagaimanapun berkata, beliau menerima keputusan Lembaga Disiplin.

Pada masa sama, beliau amat berharap rayuan Mohd Ali mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, cadangan Md Sirat disokong ADUN Sungai Rambai, Hassan Rahman, yang berpendapat jika Lembaga Disiplin tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, lebih baik ia dimansuhkan.

“Lembaga Disiplin tidak boleh menjalankan semua kerja termasuk kerja-kerja siasatan, pendakwaan dan menjatuhkan hukuman kepada siapa yang didakwa bersalah.

“Siasat dan dakwa sahajalah, biarkan Majlis Tertinggi UMNO buat keputusan atau jika tidak boleh berfungsi dengan betul, mansuhkan sahaja,” katanya.

Menurut Hassan, perbezaan hukuman antara Mohd Ali dan calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga menimbulkan satu lagi persoalan besar.

Perkara itu jelas menunjukkan ada yang tidak kena dengan Lembaga Disiplin dan jika fungsinya sedemikian rupa wajar ia dimansuhkan.

Kelmarin, Lembaga Disiplin UMNO memutuskan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding dalam pemilihan minggu depan kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Lembaga Disiplin parti itu mengumumkan, Mohd Ali yang juga Naib Presiden UMNO bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.