Wednesday, June 11, 2008

Karnival ICT Sungai Rambai, 11-15 Jun 2008

Jawatankuasa Pusat Perkhidmatan Ilmu Komuniti Sungai Rambai akan mengadakan Bengkel dan Karnival ICT bermula 11 Jun hingga 15 Jun ini di Japerun Sungai Rambai. ADUN kawasan Sungai Rambai, YB Hasan Rahman berkata, program itu mendapat kerjasama Japerun Sungai Rambai , Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka. YB Hasan Rahman berkata, objektif bengkel itu adalah untuk memperkenalkan pusat perkhidmatan dan ilmu komuniti (PPIK) kepada komuniti setempat disamping menyampaikan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan minda yang wujud di kalangan komuniti luar bandar selain membentuk masyarakat yang berpengetahuan menjelang Wawasan 2020. YB Hassan Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri berkata, bengkel itu juga bertujuan memberi latihan dan khidmat nasihat tentang cara penggunaan komputer dan kelebihan menggunakannya. Jelasnya lagi, majlis perasmian bengkel ini akan diadakan pada 12 Jun ini jam 11 pagi di Japerun Sungai Rambai oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor dan majlis penutup pada 15 Jun jam 2.30 petang oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. "Saya berharap agar penduduk di Dun Sungai Rambai tidak akan melepaskan peluang untuk sama-sama mengetahui ilmu IT dan ICT dengan menyertai bengkel yang diadakan ini," katanya. Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Japerun Sungai Rambai di talian 06-2658188.