Sunday, December 21, 2008

Mangsa Banjir Gembira Terima Bantuan Kerajaan

Rata-rata mangsa banjir di Kampung Parit Perawas di sini bersyukur di atas keprihatinan pelbagai agensi Kerajaan dalam membantu mereka semasa rumah mereka dinaiki air pada 12 Disember lalu.

Seorang mangsa, Mislatu Jelani, 43 berkata, semasa kejadian banjir berlaku banyak agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah membantu menghulurkan bantuan.

Katanya, sepanjang berada di pusat penempatan sementara di Balai Raya dan Surau kampung ini, JKM banyak membantu dan menjaga mangsa-mangsa banjir.

Menurutnya, ini termasuklah pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan bomba dan polis turut berperanan dalam usaha membantu mangsa-mangsa.

Bagi Rokiah Abdollah, 45 pula berkata, keluarganya berterima kasih sepanjang kesemua lima mangsa di tempatkan sementara di situ dan segala kebajikan mereka dijaga dengan rapi.

“Kakitangan Japerun Sungai Rambai turut bersama-sama turun padang mengambil berat tentang mangsa banjir, oleh itu, kami sangat berterima kasih dalam usaha mereka membantu kami menyelamatkan diri daripada bencana banjir ini,” katanya.

Seorang lagi, Esah Abdollah, 39 memberitahu, keluarganya gembira dengan bantuan makanan asas yang diterima sebelum kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah, kelmarin.

“Dengan pemberian makanan asas seperti beras dan makanan lain dapat menampung kehidupan kami sekeluarga buat sementara, ini kerana sebahagian barang makanan kami musnah akibat banjir.

“Ia juga sebagai menampung kami sekeluarga untuk sementara waktu ini dalam usaha kami membersihkan rumah kesan lumpur,” katanya.

Setelah seminggu berada di pusat penempatan sementara, kelima-lima keluarga mangsa banjir di Kampung Parit Perawas akhirnya dibenarkan pulang baru-baru ini setelah pihak Japerun Sungai Rambai dan agensi terlibat mendapati rumah mereka selamat diduduki semula.

Sebelum mereka dibenarkan pulang, JKM melalui Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Karim Sulaiman telah menyampaikan bantuan makanan kepada keluarga mangsa.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman; Ketua Penolong Pegawai Daerah Jasin, Mohd Sakri Seman; Pengarah JKM Negeri Melaka, Roslan Baba dan Pegawai JKM daerah, Abdul Rahman Jaafar; Penghulu DUN Sungai Rambai, Ariff Umar serta wakil-wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Polis Sungai Rambai, serta ATM.