Sunday, April 13, 2008

Kontraktor bermasalah tiada tempat di Sungai Rambai

Kontraktor yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab tidak akan mendapat tempat untuk menjalankan projek pembangunan di Sungai Rambai pada masa hadapan. YB Hasan Abd Rahman berkata tindakan tegas ini diambil selepas mendapati ada kontraktor yang dilantik tidak melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan penduduk. Beliau dan ahli Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dun Sungai Rambai akan turun padang untuk memantau setiap projek yang dilaksanakan di kawasan tersebut. Beliau memberi kenyataan ini selepas melawat kejadian benteng tebatan banjir yang pecah akibat hujan lebat di sini kelmarin. Menurut Hasan, selain itu pembayaran kepada kontraktor yang dilantik oleh jabatan atau agensi kerajaan hendaklah ditahan hingga pihak berkenaan melaksanakan semua kerja pembinaan dengan baik dan bermutu mengikut perjanjian dimeterai. Beliau berkata, langkah tegas dianggap perlu dalam usaha menangani masalah projek terbengkalai hingga membebankan penduduk.