Sunday, April 19, 2009

Pemimpin belia perlu ubah cara berpersatuan

Pemimpin pertubuhan belia di negeri ini disaran agar mengubah cara mereka berpersatuan agar penubuhannya dianggap relevan dan berkesan bagi memperkasakan golongan belia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Hasan Rahman berkata, sebagai pemimpin pertubuhan belia, golongan itu perlu berani membuat perubahan dalam menggerakkan pertubuhan mereka ke tahap membanggakan.

Menurutnya, golongan itu perlu memastikan setiap aktiviti dan program yang digerakkan mendapat perhatian dan memberi kesan dalam meningkatkan pencapaian belia.

‘‘Pemimpin belia jangan hanya pandai bermesyuarat dan mengarah sahaja tetapi pada masa yang sama, mereka sendiri perlu pandai membawa hala tuju persatuan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Perundingan Belia peringkat daerah Jasin di sini hari ini.

Katanya, golongan itu tidak seharusnya mempunyai sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dihasilkan kerana sikap sedemikian menyebabkan pertubuhan belia akan dilabel sebagai lesu dan tidak bermaya.

Ujarnya, setiap pemimpin belia perlu memastikan program dan kegiatan yang dianjurkan memenuhi keperluan dan minat belia dan tidak semata-mata bertujuan ‘melepaskan batuk di tangga’.

‘‘Setiap kali habis mesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Belia dan Sukan atau jabatan yang berkait rapat dengan masyarakat, pemimpin belia perlu pastikan ada usaha susulan diambil berhubung mesyuarat tersebut.

‘‘Jika ada aduan mengenai kekurangan kemudahan untuk belia beriadah di sesuatu tempat, perkara ini perlu segera diajukan kepada jabatan berkaitan dan susulan mengenainya perlu dibuat,” katanya.