Wednesday, April 29, 2009

Ekspo FAMA Jana Pendapatan Penduduk DUN Sungai Rambai

Inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan Ekspo Asas Tani di perkarangan pejabat agensi itu di Kampung Ayer Tawar di sini dianggap sebagai kejayaan dalam menghidupkan suasana khususnya di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

ADUN Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, pihaknya berasa amat berpuas hati dengan usaha FAMA yang menganjurkan ekspo ini untuk penduduk setempat.

“Ekspo ini turut menjual pelbagai jenis barangan daripada makanan seperti air, burger, kek sehingga kepada barangan kraftangan dan pakaian.

“Dan dengan adanya ekspo jualan seperti ini ia memberi satu menisfestasi kejayaan kepada FAMA kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini,” katanya.

Katanya, beliau turut bercadang untuk menjemput Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar untuk datang ke DUN Sungai Rambai melawat projek-projek pertanian di samping melawat projek yang diusahakan secara bersama penduduk dengan FAMA.

“Dengan cara ini, penduduk akan dapat lebih banyak pendedahan di samping bergembira dengan keluarga semasa cuti hujung minggu," ujarnya.

Beliau seterusnya berharap FAMA akan terus mengatur dengan mengadakan program seperti ini bagi mendekatkan lagi hubungan kekeluargaan di samping membuka peluang kepada peniaga dan pengusaha barangan tempatan.

“Bila lagi peniaga tempatan kita dapat memperkenalkan jualan dan hasil usaha mereka jika tidak di ekspo seperti ini, justeru, diharap di bulan akan datang, akan lebih ramai lagi peniaga tempatan akan turut serta dalam ekspo ini,” katanya.

Kepada peniaga yang berminat menyertai aktiviti anjuran FAMA boleh menghubungi pejabat FAMA di talian 06-2312760.