Sunday, April 19, 2009

Pertandingan X-polyrace Suntik Pengalaman Berharga

Pelajar-pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Jabatan Hospiliti Politeknik Merlimau berpeluang menimba pengalaman baru suasana kehidupan di homestay sempena Pertandingan X-polyrace yang diadakan di Kampung Parit Penghulu Benteng, semalam.

Ketua Jabatan Hospitaliti, Politeknik Merlimau, Sedek Abu berkata, selain daripada memperkenalkan cara hidup kemasyarakatan di homestay, para pelajar yang menyertai pertandingan ini juga boleh mengeratkan hubungan mereka dengan masyarakat luar.

“Rasionalnya, kita mahu memberi pendedahan kepada para pelajar bagaimana untuk menguruskan sesuatu projek yang melibatkan banyak pihak serta memerlukan perancangan dan pengurusan yang teliti.

“Di samping itu, program ini dapat membantu para pelajar membina jati diri serta ketahanan mental serta emosi terhadap cabaran melalui program yang dirancang,” katanya dalam Majlis Penutup X-polyrace Agro Tourism Homestay Sungai Rambai.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman, Pengerusi Homestay Sungai Rambai, Suparman Abu dan pensyarah kursus, Maisarah Mansor.

Katanya, Politeknik Merlimau menggariskan misi supaya setiap graduannya mempunyai pengetahuan dan berkemahiran dalam jurusan yang diceburi dan program ini memberikan pengalaman kepada pelajar dan mendidik mereka untuk dapat saling berkerjasama di antara satu dengan yang lain.

“Di samping kita mahu memberikan pendedahan kepada masyarakat luar tentang pelancongan yang berasaskan homestay yang kini kian popular di kalangan masyarakat memandangkan ia menjadi penyumbang kepada salah satu ekonomi pada masa kini,” katanya.

Menurut beliau lagi, melalui program ini banyak pengalaman menarik akan diperolehi pelajar.

“Saya yakin dan percaya, melalui program ini, pelajar akan memperolehi pengalaman yang cukup berguna serta bermanfaat. Kita bukan sekadar mahukan pekerja dalam industri pelancongan yang cemerlang dari segi akademik, malah melalui kualiti dari segi bakat, pengalaman dan kesungguhan juga diperlukan.

“Maka, dengan ini, pelajar yang benar-benar kualiti akan lahir daripada kesinambungan antara akademik dan praktis,” katanya.