Monday, August 11, 2008

Belia disaran tonjol sifat kepimpinan

Belia-belia disarankan supaya dapat menanam sifat-sifat kepimpinan terutama sekali di dalam usaha membantu kerajaan mengukuh serta membantu membangkitkan semangat yang erat di antara sesama mereka.

Menurut Pengerusi Kelab Rakan Muda Jasin, Mohd Rashidi Mohd Hata, sifat kepimpinan ini penting dalam usaha memberikan kesedaran serta kefahaman kepada golongan belia terutama kepada mereka yang masih menuntut di institut pengajian tinggi awam mahupun swasta (IPTA/IPTS).

“Kesedaran dan kefahaman ini penting kerana golongan belia bakal menggantikan pemimpin yang sedia ada pada masa hadapan.

“Golongan ini juga memainkan peranan dalam usaha kita menggerakkan jentera dan tenaga muda ini sebagai golongan yang sesuai kepada perubahan sosial.

“Kita mahu masyarakat setempat mengubah persepsi mereka yang sebelum ini menganggap golongan ini sering terlibat dengan gejala sosial agar mengubah persepsi sedemikian dengan menganggap golongan ini sebagai pemangkin perubahan sosial di sesuatu kawasan,” katanya kepada Sinar Harian semasa majlis penutupan Program Khidmat Masyarakat anjuran Kelab Rakan Muda Jasin dan DUN Sungai Rambai.

Tambahnya, belia seharusnya tahu akan peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam mencorak masa depan mereka kerana mereka merupakan tunjang utama dalam pembangunan negara.

“Kita mahu membina keharmonian dan kemakmuran masyarakat desa dalam bidang ekonomi, sosial dan politik berasaskan kepada ilmu pengetahuan yang disalurkan oleh golongan belia ini kepada masyarakat desa.

“Melalui penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada peserta agar mereka akan terus berbakti kepada masyarakat desa di masa hadapan kelak,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program ini seperti membersihkan kawasan rumah warga emas, ibu tunggal dan orang miskin serta membersihkan kawasan kubur dan persekitaran masjid bersama-sama dengan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam program tersebut, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan 103 belia yang tinggal di kawasan Parlimen Jasin.