Sunday, August 17, 2008

Tingkatkan keselamatan Jeti Kuala Sebatu

Agensi kerajaan berkaitan terutamanya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) digesa memberi perhatian serius pada masalah yang dihadapi para nelayan di Jeti Kuala Sebatu, Merlimau di sini, yang mendakwa jeti baru yang dibina agensi berkenaan tidak selamat untuk digunakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman berkata, beliau sendiri telah meninjau keadaan jeti tersebut dan mendapati dakwaan penduduk itu benar.

"Saya sangat kesal kerana keadaan jeti batu yang baru dibina empat bulan lalu amat tidak sempurna dan boleh membahayakan keselamatan para nelayan jika terus digunakan tanpa penambahan ciri-ciri keselamatan.

"Kalau betullah jeti ini dibina dengan kos RM300,000 seperti yang didakwa penduduk, ia menimbulkan tanda tanya kerana dengan peruntukan sebanyak itu, sepatutnya jeti yang dibina lebih baik daripada apa yang ada sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasan ditemui pemberita ketika melakukan lawatan ke jeti tersebut setelah menerima rungutan penduduk mengenai keadaan jeti sepanjang kira-kira 150 meter itu yang tidak sempurna dan selamat digunakan kerana cuma menyediakan dua tangga yang terpaksa dikongsi 60 nelayan.

Para nelayan mendakwa keadaan tersebut menyukarkan mereka untuk mendaratkan hasil tangkapan laut kerana terpaksa bergilir-gilir meletakkan bot di hadapan tangga batu yang disediakan dan ia terhad kepada dua bot sahaja pada satu-satu masa.

Jika tidak, mereka terpaksa memilih untuk membina tangga kayu sendiri setinggi kira-kira tiga meter walaupun menyedari bahaya yang menanti terutamanya kepada golongan nelayan warga emas.

Hasan berharap agensi kerajaan berkaitan dapat segera menambah ciri-ciri keselamatan di jeti tersebut sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini kepada keluarga nelayan dan penduduk yang berurusan di situ.

"Saya tengok lantai jeti ini juga nipis dan keadaan ini boleh membahayakan nyawa nelayan apatah lagi setelah saya melihat bilangan nelayan yang ramai iaitu 60 orang.

"Kalau seramai itu menggunakan jeti ini, tentulah ia memerlukan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat lebih-lebih lagi kawasan ini terletak agak jauh dari jalan utama yang akan menyukarkan kerja menyelamat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Tambah beliau, beliau juga kesal kerana LKIM tidak memaklumkan kepadanya berhubung pembinaan jeti tersebut sebelum ini sehingga akhirnya mengundang rungutan para nelayan.

"Saya sendiri tidak dimaklumkan mengenai pembinaan jeti ini dan hanya mengetahuinya setelah ia sudah siap melalui nelayan di sini," tambahnya sambil berharap akan mendapat peruntukan segera bagi menambah ciri-ciri keselamatan di jeti tersebut.