Sunday, August 17, 2008

Kerajaan Negeri Sediakan RM115 Juta Untuk Projek Sungai Rambai Baru

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM115 juta untuk projek Sungai Rambai Baru menerusi pelan pembangunan Sungai Rambai Maju (SRM) yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, projek SRM antara lain membabitkan pembinaan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan taman perumahan seluas 15.616 hektar di Mukim Sungai Rambai di daerah Jasin.

"Pembangunan di Sungai Rambai itu dirancang sebegitu rupa memandangkan ia terletak di sempadan Johor yang menjadi pintu masuk utama pelancong dari selatan tanah air termasuk dari Singapura," katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Md Yunos berkata, lima kawasan baru SRM bakal dibangunkan membabitkan taman perumahan seluas 6.7 hektar, rumah kedai (0.184 hektar), R&R (3.8 hektar), stesen minyak (1.2 hektar) dan infrastruktur lain (3.8 hektar) dengan nilai tanah RM8.5 juta.

"Mengikut pecahan projek, kawasan R&R akan menelan belanja RM11.3 juta, manakala bagi perumahan dan rumah kedai membabitkan kos RM39.5 juta," katanya.

Antara komponen yang dicadangkan dalam draf pembangunan berkenaan ialah 120 unit rumah teres dua tingkat, 68 unit rumah berkembar, 13 unit rumah kedai dua tingkat, 44 unit lot rumah banglo, satu lot stesen minyak dan dua lot kawasan R&R yang akan dibina bersebelahan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.

Md Yunos juga berkata, kerajaan negeri bercadang membesarkan pembangunan pelabuhan pusat pertukaran barang di Sungai Rambai dengan membabitkan keluasan tambahan 21.6 hektar dengan kos berjumlah RM44 juta, termasuk kos pengambilan tanah yang bernilai RM12 juta.

Katanya, antara komponen yang dicadang untuk dibangunkan di kawasan berkenaan adalah dua unit pejabat pengurusan di atas tapak seluas 1.3 hektar dan membina 55 unit rumah banglo, 86 rumah berkembar, 97 rumah teres dan 34 rumah kedai.

"Bagi infrastruktur dan kemudahan awam, kerajaan negeri bercadang menyediakan satu unit pencawang masuk utama elektrik di kawasan berdekatan selain membina kawasan lapang untuk kemudahan letak kenderaan seluas 0.716 hektar dan membina jalan membabitkan tanah seluas 6.8 hektar," katanya.