Tuesday, September 2, 2008

150 asnaf terima bantuan hari raya


Golongan fakir dan miskin mula menerima sumbangan berjumlah RM300 dan bantuan tambahan berupa beras sebanyak lima kilogram daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak semalam sehingga 9 September ini.

MAIM melalui Pusat Zakat Melaka (PZM) menambah jumlah bantuan tahunan kepada penduduk fakir dan miskin di negeri ini berikutan peningkatan pembayaran zakat sektor korporat dan individu Islam.

Tahun ini, semua penerima bantuan dalam kelompok dua asnaf berkenaan menerima bantuan wang tunai bernilai RM300 berbanding RM200 sebelum ini dan bantuan tambahan iaitu beras sebanyak lima kilogram turut dihadiahkan MAIM kepada setiap penerima.

Ketua Kumpulan Penyerahan Bantuan Hari Raya MAIM 2008, Sidek Md Raus berkata, bantuan akan diserahkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh wakil rakyat masing-masing.

"Bantuan itu adalah hasil kutipan zakat yang ditunaikan pelbagai pihak melalui PZM dalam tempoh setahun membabitkan ahli perniagaan, petani serta individu.

"Justeru, saya berharap dengan peningkatan jumlah bantuan itu sedikit sebanyak akan meringankan beban penerima menghadapi Ramadan seterusnya Aidilfitri kelak," katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada 150 penerima di DUN Sungai Rambai, di Masjid Ayer Tawar, di sini semalam.

Bantuan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman.

Turut hadir, Penghulu kawasan, Arif Umar serta Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan DUN, Jalauddin Mamat.

Sementara itu, Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Belia dan Sukan negeri, berkata, dengan bantuan yang diberikan PZM setiap tahun itu membuktikan kerajaan telus dalam mengagihkan sumber zakat yang diterima daripada umat Islam itu.

Katanya, kata-kata sumbang daripada pihak tertentu yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak telus dalam soal pengagihan berkenaan adalah tidak benar dan wajar ditolak oleh masyarakat.

"Hari ini sudah terbukti kerajaan kita sekarang jujur dan telus. Jika tidak, tidak mungkin penerima boleh mendapat bantuan wang zakat setiap tahun, malah tahun ini ditambah RM100 lagi.

"Pandangan serong pihak tertentu terhadap pengurusan zakat di negeri ini adalah tidak benar dan semua penerima wajar menolak pendapat sebegitu rupa," katanya.