Sunday, September 7, 2008

33 Tapak PPR Diluluskan Kerajaan Negeri

Kerajaan Negeri akan memastikan dasar 'Satu Keluarga Satu Rumah' bakal menjadi kenyataan menjelang 2010 dengan menyediakan perumahan di beberapa lokasi yang bersesuaian di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, untuk itu, pembinaan rumah mampu milik iaitu kos sederhana rendah dan kos rendah oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, Lembaga Perumahan Negeri (LPN) atau dengan kerjasama pihak swasta akan terus dipergiatkan.

Mohd Ali berkata, menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 33 tapak cadangan bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR), dimiliki sebanyak 28 tapak dan PPR disewa sebanyak lima tapak.

“Di samping itu, pada 2007, Jabatan Perumahan Negara telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM49.87 juta bagi pelaksanaan tiga projek PPR membabitkan 900 unit iaitu PPR Pulai (dimiliki) sebanyak 300 unit dengan kos RM16.18 juta.

“Turut dibina PPR Kelubi (dimiliki) sebanyak 300 unit dengan kos RM16.18 juta dan PPR Batu Berendam (disewa) sebanyak 300 unit dengan kos RM17.5 juta.

“Sehingga kini, kontraktor yang dilantik telah melaksanakan projek pembinaan di Batu Berendam, manakala projek di Pulai dan Kelubi akan dimasukkan dalam tempoh RMK-10,”katanya di majlis penyerahan kunci rumah Taman Seri Pertam Air Tawar Fasa 3 Merlimau, dekat sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Rambai, Hassan Abd Rahman; Pegawai Daerah Jasin, Md Zin Mansor dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Kamarudin Md Shah.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pertam, Datuk Ashaari Ibrahim; Pengurus Besar Pertam, Mohd Nasser Selamat serta Pengerusi Northern Elevator Berhad, Othman Hussin dan Pengarah Urusan Northern Elevator Berhad, Loh Lay Coo.

Menurut Mohd Ali, pada tahun lalu, sebanyak 1,991 unit rumah kos rendah swasta siap dibina iaitu sebanyak 1,400 unit di daerah Melaka Tengah dan 591 unit di daerah Alor Gajah, manakala pada tahun ini sebanyak 156 unit rumah kos rendah siap dibina di Alor Gajah.

Katanya, sebanyak 3,353 unit rumah kos rendah sedang dibina pada tahun ini iaitu sebanyak 3,114 unit di daerah Melaka Tengah, 43 unit di Alor Gajah dan 196 unit di daerah Jasin.

“Ini bererti sejak 2007 dan 2008, sebanyak 5,800 unit rumah kos rendah telah dibina bagi keperluan rakyat berpendapatan rendah dan kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 3,490 unit rumah kos rendah dapat dibina menjelang 2010,”katanya.

Ujar beliau, jumlah itu adalah bagi menampung keperluan perumahan kos rendah berdasarkan kepada permohonan sistem pendaftaran terbuka (SPT) iaitu sebanyak 9,290 permohonan pada tahun 2004 hingga 2007.

Terdahulu, Pengarah Urusan Northern Elevator Berhad, Lim Beng Huan menerima Sijil layak Menduduki (CFO) untuk Taman Seri Pertam dari Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Kamarudin Md Shah.

Northern Elevator Berhad bekerjasama dengan Pertam dalam melaksanakan projek pembinaan rumah pada 3 Mei 2007 yang meliputi 106 unit rumah teres setingkat.

Daripada 106 unit yang dibina, 38 unit rumah Teres Intan dengan keluasan 22 X 70 kaki dan 68 unit rumah Teres Emas dengan keluasan 20 X 60 kaki yang dijual dengan harga antara RM87,000 hingga RM115,000 seunit.

Projek itu adalah fasa pertama daripada projek di kawasan seluas 7.2 hektar atau 18 ekar tanah yang dimiliki Pertam dan fasa kedua dijangka akan bermula pada Oktober ini membabitkan pembinaan rumah teres setingkat sebanyak 38 unit dan rumah teres dua tingkat sebanyak 72 unit.