Wednesday, September 17, 2008

Ahli GB4B sertai aktiviti sukarelawan

Program ‘Semarak Ramadan’ yang dianjurkan Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) kawasan Jasin bersama Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) berjaya menarik penyertaan belia melakukan kerja-kerja sukarela bersempena Ramadan.

“Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan golongan belia ini diberikan peluang menyertai program sebegini yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Semangat kerjasama serta sukarelawan yang tinggi terpancar di kalangan ahli GB4B dan Sahabat Belia dan berjaya mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka,” kata Pengerusi GB4B kawasan Jasin, Mohd Nizam Omar

Katanya lagi, antara aktiviti dalam program itu adalah memasak bubur lambuk untuk diagihkan.

Mohd Nizam yang juga Pengarah Bahagian Sahabat Belia JKMM berkata, 100 ahli GB4B Jasin dan sukarelawan Sahabat Belia bertungkus-lumus memasak dua periuk bubur lambuk sebelum membungkusnya untuk diagihkan kepada pengguna jalan raya.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman.

Majlis penutup pula disempurnakan Pegawai Daerah Jasin, Md Zin Mansor dengan menyerahkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya.

Turut hadir, Ketua Polis Trafik Ibu Pejapat Polis Daerah Jasin, Cif Inspektor Mohd Zaki Ashar dan Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri, Abd Latif Mohamad.

Turut memeriahkan majlis ialah Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Mohd Faizal Hashim, Azman Abdullah, Bendahari GB4B Melaka, Razak Abu Hasan, Timbalan Pengerusi Penaja GB4B Kawasan Jasin, Zulkifli Kalil, Naib Pengerusi Wanita GB4B Jasin, Rohafiza Harun, Ketua Penerangan GB4B Kawasan Jasin, Ahmad Nazrie Samsir dan Pengerusi Tugas-tugas Khas GB4B Jasin, Mohd Izwan Md Nor.

Sementara itu, pada majlis berkenaan juga telah diadakan kempen memasang pelekat Pandu Ikut Lorong di hadapan bangunan GB4B di Bandar Jasin.

Menurut Mohd Nizam lagi, program memasang pelekat itu adalah sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati di jalan raya.

“Kami berharap pada masa hadapan program ini akan dapat disertai lebih banyak agensi kerana GB4B adalah badan bukan kerajaan yang sentiasa membantu kerajaan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat,” jelasnya.