Wednesday, November 5, 2008

Anugerah DMSM Kepada Shah Rukh Khan GERAKAN BELIA 4B BIDAS SENIMAN

Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia meminta kontroversi berhubung penganugerahan pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) oleh Kerajaan Negeri kepada aktres Bollywood, Shah Rukh Khan agar tidak terus dipolemikkan dan diperbesarkan lagi.

Sambil membidas tindakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mempertikaikan penganugerahan tersebut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi GB4B Malaysia, Hassan Abdul Rahman dalam sidang medianya hari ini berkata, pertubuhan belia yang dianggotai kira-kira 300,000 ahli seluruh negara ini turut membuat pendirian menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri menganugerahkan DMSM kepada Shah Rukh Khan sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, Ke-70, 11 Oktober, lepas.

Hassan menegaskan, pendirian teguh tersebut diambil berikutan terdapat komen liar daripada pihak tertentu, termasuk Seniman yang mempertikaikan penganugerahan pingat tersebut oleh Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Mereka (Seniman) serta pihak-pihak tertentu yang sengaja memperbesar-besarkan penganugerahan tersebut sepatutnya menghormati keputusan Kerajaan Negeri kerana keputusan itu dibuat atas keperluan Kerajaan Negeri Melaka.

"Memandangkan Melaka telah diberi pengiktirafan oleh dunia melalui UNESCO, maka Melaka juga berhak untuk mengiktiraf mana-mana atau sesiapa yang dirasakan layak," katanya dalam satu sidang akhbar khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Hassan yang juga Timbalan Pengerusi GB4B Melaka dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri memberitahu, keputusan Kerajaan Negeri itu adalah relevan.

"Anugerah ini membolehkan Malaysia dan Melaka dipromosikan dengan lebih meluas dalam filem Bollywood secara percuma.

"Kita perlu belanja berjuta-jugta ringgit untuk promosi, tapi dengan penglibatan Shah Rukh Khan melalui penggambaran filem yang dibuat di A Famosa Resort dulu, kita dapat promosi percuma," katanya lagi.

Menurut Hassan, Seniman juga patut melihat penganugerahan pingat tersebut dari sudut pandangan yang positif dan global.

"Setakat ini, sejauh mana filem tempatan dapat menembusi filem antarabangsa dan di samping itu adakah Seniman mencalonkan ahli-ahlinya untuk terima anugerah.

"Oleh itu, Seniman tak harus mempertikaikan mengenai pingat, sebaliknya memperjuangkan nasib-nasib ahli untuk popular di peringkat global", tegasnya.

Hassan menegaskan, sebelum ini Kerajaan Terengganu juga pernah anugerahkan Datuk kepada tunang pelakon Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa, Datuk Micheal Yeoh.

"Kerajaan Terengganu beri Datuk kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Ferrari, John Tort tapi apa sumbangan dia kepada Malaysia? kenapa tidak ada pihak yang mempertikaikannya termasuk Seniman?

"Oleh itu, jangan diperbesarkan isu ini lagi, banyak perkara lain yang boleh dibuat Seniman seperti bertindak sebagai agen bagi membangunkan ekonomi negara melalui bidang seni," katanya.

Kelmarin, Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof berkata, persatuan itu akan menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) berhubung penganugerahan tersebut.

Katanya, surat itu mewakili suara hati anak seni tempatan yang melihat penganugerahan pingat kebesaran kepada aktres berusia 43 tahun itu sebagai tidak relevan, malah mempertikaikan atas kriteria apa Shah Rukh Khan wajar menerimanya.