Sunday, November 23, 2008

Penyertaan Teramai Dalam PJKN 160 Belia Jayakan Program Anak Angkat

Program Jatidiri Kesukarelaan Nasional (PJKN) Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Melaka siri ketiga tahun ini mencatat sejarah baru apabila berjaya menghimpunkan 160 peserta sekaligus menjadikannya penyertaan paling ramai di negara ini.

Seramai 160 peserta dari 10 sekolah menengah dan dua Insitutsi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S), menyertai siri ini berbanding 120 peserta yang dicatatkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, kejayaan Kelab Sukarelawan Sahabat Belia di bawah kepimpinan Pengerusinya, Khairil Syukri Mohamad Tahier itu membuktikan belia Melaka begitu komited terhadap tanggungjawab mereka sebagai golongan belia.

Menurutnya, ini juga secara tidak langsung dapat menepati citarasa dan aspirasi Ketua Menteri yang juga Presiden Pertubuhan Belia Sedunia (WAY), Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahukan belia di Melaka aktif seiring dengan kemajuan negeri ini.

“Sebagai sebuah negeri yang baru mendapat pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD) dan sebuah negeri belia, Melaka memerlukan lebih ramai lagi belia yang aktif dengan membabitkan diri dalam bidang kesukarelaan ini.

“Penyertaan pelajar pada hari ini sehingga berjaya menjadikan ianya sebagai penyertaan paling ramai di negara ini membuktikan bahawa Melaka adalah tempat untuk melahirkan lebih ramai ahli belia yang aktif dan komited,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas melancarkan majlis penyerahan anak angkat PJKN Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Melaka di Balai Raya Kampung Air Tawar, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 160 peserta terbabit menjadi anak angkat kepada 35 keluarga di Kampung Air Tawar dan mereka akan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing sehingga Ahad ini sambil mengikuti program yang telah diatur oleh penganjur.

Turut hadir pada majis itu, Penghulu DUN Sungai Rambai, Ariff Umar; Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka, Mohd Nizam Omar; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri, Md Abd Manap dan Pegawai JBS Daerah Jasin, Jazwin Abd Rahman.

Terdahulu, ketika merasmikan majlis itu, Hassan berharap golongan belia di negeri ini akan dapat menghayati sejarah negara khususnya asas kepada pembentukan negara menjadi sebuah negara merdeka.

“Golongan belia perlu ada kesedaran politik dan mereka juga mestilah memahami serta menghayati sejarah sebenar negara kerana tanpa memahami dan menghayatinya, sudah pasti mereka akan menjadi orang yang buta sejarah,” katanya.