Wednesday, November 5, 2008

Masyarakat Perlu Amalkan Gaya Hidup Sihat


Masyarakat di negeri ini disaran mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjadikan amalan bersenam menjadi satu budaya kehidupan seharian mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Hasan Abd Rahman berkata amalan bersenam setiap hari bukan sahaja akan dapat menjamin kesihatan yang baik, malah akan dapat menceriakan kehidupan mereka setiap hari.

Menurut Hasan, sekiranya amalan bersenam diabaikan, ia dikhuatiri oleh menjejaskan kesihatan sekaligus boleh memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan sesebuah masyarakat.

“Justeru itu, saya berharap semua masyarakat akan dapat menjadikan amalan bersenam menjadi satu budaya dan amalan harian mereka demi memastikan kesejahteraan hidup berkekalan sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gimnasium Rakyat dan sambutan Deeparaya Komuniti Bistari peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di Dewan Serbaguna Japerun Sungai Rambai, malam ini.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka, Mohd Nizam Omar, Penolong Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN), Siti Syakirah Md Yazid; Timbalan Pengarah Pembela yang juga jurulatih kecergasan, Aziz Ahmad, Penghulu DUN Sungai Rambai, Ariff Ahmad dan Pengerusi Gimnasium Rakyat DUN Sungai Rambai, Khuzaimah Abdullah.

Beliau seterusnya berharap JBSN akan dapat membantu jawatankuasa Gimnasium Rakyat DUN Sungai Rambai dengan memberikan peruntukan yang sewajarnya manakala JKKK di DUN berkenaan akan dapat menarik lebih ramai penduduk menjadi ahli kelab Gimnasium berkenaan.