Wednesday, November 5, 2008

Melaka Janjikan Persembahan Terbaik pada SUKMA 2010


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Hasan Rahman bertekad mencurah segala pengalaman dan pengetahuan dalam memperkasa perkembangan dan pembangunan sukan di negeri Melaka dan Negara.

Menurutnya, dia juga akan berusaha memastikan Melaka akan Berjaya meraih dan mencipta sejarah sebagai penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) yang gemilang dan terhebat diadakan di negeri Hang Tuah pada 2010 kelak.

Baginya, cabaran sebagai tuan rumah akan disambut dengan penuh dedikasi terutama dalam usaha melonjak imej Melaka sebagai penganjur yang berkualiti dan dihormati.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Arena Sukan Aidilfitri di RTM Melaka (Melaka FM) bersama deejay Nazri Abu Bakar dan Azizi Shahril Abdul Razak Khalim.

Turut bersama beliau deajay Amitabh Hasan dan Shazrina Abd Rahim selain tetamu undangan pemain bolasepak Johor Aswad Md Arif dan Timbalan Presiden Hoki Melaka, Nor Azmi Ahmad.

Menurutnya, sokongan padu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan semua jabatan kerajaan dan swasta serta ahli exco nyata menyokong persediaan yang rapi Melaka sebagai tuan rumah SUKMA dua tahun lagi.

Baginya, beliau berharap, Melaka akan meraih kejayaan besar pada kesukanan itu kelak terutama sebagai membalas jasa masyarakat yang sentiasa memberikan yang terbaik kepada kejayaan SUKMA.

Pada program berkenaan, Hasan turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh pendengar dan penduduk di Melaka menerusi luahan hati dan keikhlasan beliau.

Sementara itu, Azizi dan Nazri turut mengucapkan terimakasih kepada peminat Arena Sukan yang sentiasa member sokongan padu kepada program berkenaan yang disiarkan 12.30 tengahari setiap Sabtu.