Wednesday, November 5, 2008

Pemuda UMNO Lancang & IPD Muar Adakan Perlawanan Persahabatan Badminton


PASUKAN Badminton Pemuda UMNO Cawangan Lanchang telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, ini di Dewan Badminton Kuartes Polis IPD Muar, baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Lanchang, Nor Azmi Mahmood berkata, perlawanan persahabatan yang diadakan itu juga adalah salah satu daripada kunjung hormat ahli Pemuda UMNO cawangan berkenaan dalam usaha merapatkan lagi hubungan antara polis dan masyarakat.

Menurut Nor Azmi, pasukan IPD Muar yang diketuai Cif Inspektor Lim Aik Sin bermain begitu cemerlang sekali sehingga membuatkan pasukannya sukar untuk mendapatkan mata perlawanan.

“Tujuan utama perlawanan ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan antara masyarakat awam dengan pasukan polis dan ini secara tidak langsung akan menjalin kerjasama erat serta memahami bidang tugas polis dengan lebih mendalam.

Kunjung hormat ini juga adalah sebagai tanda semangat setiakawan dan penghormatan terhadap pasukan polis yang banyak mengawal keselamatan negara,”katanya.

Menurut Nor Azmi, sebelum ini pasukan Pemuda UMNO Lanchang telah banyak mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain khususnya pasukan Polis termasuk perlawanan persahabatan dengan pasukan IPD Jasin baru-baru ini.

Sementara itu, Cif inspector Lim Aik Sin pula melahirkan rasa gembira kerana meskipun berlainan negeri dan daerah pentadbiran namun kesudian pasukan Pemuda UMNO Cawangan Lanchang untuk datang dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan IPD Muar adalah satu kebanggaan kepada pasukannya.

“Semoga hubungan yang terjalin ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.