Sunday, July 27, 2008

Cessna bakal mendarat di Landasan Sungai Rambai selepas dinaik taraf

Taman landasan pesawat ringan Sungai Rambai, di sini bakal termaktub dalam peta dunia apabila ia dinaikkan taraf tidak lama lagi bagi membolehkan pesawat ringan seperti Cessna dapat mendarat di landasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman berkata, pihaknya telah membuat permohonan berhubung perkara itu kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sejak enam bulan lalu dan masih menunggu kelulusan pihak berkenaan.

Menurutnya, sekiranya diluluskan kelak, ia bakal melonjakkan nama Sungai Rambai di pentas antarabangsa, sekali gus memperkenalkan daerah itu sebagai salah satu destinasi tumpuan utama para penggemar sukan udara dari dalam dan luar negara.

''Ia bersesuaian dengan statusnya yang menjadi lokasi penganjuran Karnival Udara Sungai Rambai yang diadakan secara tahunan sejak tiga tahun lalu dan menarik banyak penyertaan luar negara seperti Australia dan Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Hasan menjelaskan taman landasan itu merupakan milik Kelab Belia 4B Malaysia dan telah diwartakan sebagai pusat latihan penerbangan ringan yang membolehkan mana-mana pesawat ringan diterbangkan sehingga 1,000 kaki di udara serta sejauh lingkungan radius 10 kilometer.

Taman penerbangan itu menyediakan landasan berumput sejauh 10 meter dan mempunyai hangar serta kawasan berbumbung bagi tujuan operasi pentadbiran.

Kata Hasan, kemudahan landasan berumput itu telah ditetapkan oleh DCA dan bersesuaian dengan kegunaannya bagi pesawat ringan seperti mikrolight.

Ujar beliau, taman landasan itu turut menjadi tumpuan latihan penerbangan oleh pihak persendirian dari luar Melaka seperti Kuala Lumpur dan Segamat, Johor.

''Kemudahan yang disediakan itu dapat memenuhi keperluan memandangkan landasan di Lapangan Terbang Batu Berendam sentiasa sibuk termasuk pendaratan dan penerbangan pesawat komersial.

''Jadi, taman landasan pesawat ringan ini mampu menjadi lokasi alternatif bagi mereka yang berminat untuk membuat latihan penerbangan mirolight selain di Batu Berendam," katanya.

Katanya, kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran kawasan sawah padi dan Sungai Kesang selain tidak mempunyai bangunan tinggi, memudahkan pelatih pesawat ringan menjalani latihan penerbangan mereka.

Malah, katanya, pesawat ringan lain jenis MXL II, MXL Sport dan Quick Silver GT500 yang dianggarkan berharga RM200,000 juga boleh diterbang dan mendarat di taman tersebut tanpa menghadapi sebarang masalah.

Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, bagi merancakkan fungsi taman tersebut, pihaknya menganjurkan Karnival Udara Sungai Rambai pada bulan Ogos setiap tahun.

Melalui program itu, katanya, masyarakat Sungai Rambai didedahkan dengan pelbagai bentuk dan jenis pesawat ringan termasuk cara pembuatannya selain demonstrasi pemanduan pesawat mikrolight oleh pemandu profesional.

Beliau turut mempelawa para belia yang berminat untuk mendapatkan lesen pesawat mikrolight dengan mendaftar di bawah Kelab Belia 4B.

Katanya, yuran yang dikenakan ialah sebanyak RM6,000 termasuk kursus selama 30 jam dan menjalani ujian penerbangan di bawah kendalian DCA.