Monday, July 28, 2008

Pertambahan Kes Wabak Chikungunya -ADUN Sungai Rambai Buka Bilik Gerakan

Seramai 28 penduduk di kawasan Sungai Rambai dekat sini, telah disyaki menghidap demam 'Chikungunya' yang berpunca daripada virus bawaan nyamuk Aedes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman berkata, sehingga Kampung Seri Mendapat Lancang antara kampung yang mencatatkan kes tertinggi mempunyai suspek yang dijangkiti wabak itu.

"Ekoran wabak tersebut, sebuah bilik gerakan telah dibuka di Kompleks Japerun Sungai Rambai, bagi mengatasi masalah wabak itu sejak pagi tadi.

"Sehingga kini, kerja-kerja fogging sedang dijalankan di kawasan Kampung Tasek dan pemantauan akan sentiasa dibuat dari masa ke semasa, selain memasukkan air ke dalam badan bagi mereka yang disyaki menghidap wabak ini," katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Kata beliau, kampung-kampung yang telah difogging adalah Kampung Jalan Cap Tangan, Kampung Parit Sidang Seman, Kampung Parit Penghulu dan Kampung Parit Putat.

Berikutan wabak yang semakin meningkat itu, semalam, Hasan telah melawat waris mangsa yang meninggal dunia akibat disyaki menghidap demam Chikungunya.

Buang Sungit, 56, meninggal dunia dua jam selepas di hantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSFM), kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Kematian mangsa telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk sekitar kawasan tersebut apabila ia dikaitkan dengan penyakit demam Chikungunya itu, kata Hasan.

Bagaimanapun, melalui surat kematian yang dikeluarkan oleh pihak hospital, punca kematian Buang dipercayai disebabkan jangkitan kuman tahap dua dalam darah (septicaremia shock 2nd atypical infection) serta kegagalan fungsi pada buah pinggangnya(renal impairement).

Sementara itu, isteri mangsa, Kamariah Amran, 51, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tasek, Parit Pelawas dekat sini, meluahkan rasa sedih dengan kematian suaminya secara mengejut dan tidak menyangka demam yang dihidapi suaminya selama tiga hari itu boleh membawa maut.

“Saya tidak percaya demam yang dihidapi arwah sejak Khamis lalu, membawa maut dengan begitu cepat, bagaimanapun saya redha dengan kematiannya,” katanya.

Jelas beliau, suaminya yang dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran telah diberi suntikan terlebih dahulu, sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai.

“Pegawai di klinik tersebut kemudiannya mendapati, suami saya dalam keadaan tenat dan terus menghantarnya ke Hospital Muar, tetapi selepas dua jam dirawat, doktor di hospital terbabit mengesahkan suami saya telah meninggal dunia,” jelasnya dalam keadaan sebak.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Abd Latif Ahmad; ketika melawat Hospital Jasin, mengesahkan terdapat enam kes demam Chikungunya di kesan berlaku di negeri ini membabitkan kawasan Tangkak dan Muar sejak tiga minggu lalu.

Sehingga semalam, terdapat peningkatan dua kes daripada enam kes yang membabitkan deman Chikungunya dilaporkan dan dua kes darinya disyaki berlaku di kawasan Nyalas dan Chinchin dekat sini.